Sultan: PRU ini, beta tak sokong mana-mana parti politik

PETALING JAYA: Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menegaskan sikap berkecuali pihak istana Selangor, dan berikrar tidak akan memihak kepada mana-mana parti politik menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Beta ingin menegaskan bahawa Beta dan Istana Negeri Selangor sentiasa di pihak berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik di negara ini,” menurut perutusan khas dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

“Beta juga menegaskan bahawa kedudukan Beta sebagai seorang Raja adalah mengatasi politik dan tidak seharusnya dilihat menyokong mana-mana parti politik,” katanya.

Sultan Selangor turut memberi keyakinan kepada kemampuan “kuasa rakyat” dalam memilih pemimpin yang layak pada 9 Mei ini.

Menurutnya, pendirian itu selaras dengan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang diamalkan.

Dalam perutusannya, Sultan Sharafuddin berharap rakyat Selangor akan mengelak daripada “perbalahan dan kekacauan” pada musim PRU ini.

“Beta berharap agar pilihan raya umum ke-14 ini dapat dijalankan dengan lancar dan di dalam keadaan yang aman tanpa sebarang kekecohan dan huru-hara di kalangan rakyat.”