Tian Chua: Taktik kotor BN sekat PH di Batu

Tian Chua dihalang daripada bertanding sekali lagi di Batu.

KUALA LUMPUR: Tian Chua menuduh Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik kotor kerana takut kalah pilihan raya selepas pencalonan beliau di Parlimen Batu ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kertas pencalonan naib presiden PKR itu ditolak oleh pegawai pengurus pilihan raya apabila beliau mengemukakannya pagi tadi.

Katanya, keputusan SPR itu menghina sistem kehakiman negara, dan tidak mendapat nasihat daripada peguam negara.

Tahun lepas, Tian Chua disabitkan oleh mahkamah atas tuduhan menghina seorang anggota polis dan dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau 3 bulan penjara.

Beliau merayu keputusan itu dan bulan lepas Mahkamah Tinggi mengurangkan denda kepada RM2,000 kerana kesalahannya tidak melibatkan kecederaan badan.

Mahkamah juga menolak rayuan pihak pendakwa yang mahu meningkatkan kadar hukuman.

Tian Chua berkata, SPR sepatutnya merujuk kes itu kepada peguam negara. Perlembagaan Persekutuan membatalkan kelayakan seseorang sebagai calon pilihan raya sekiranya disabitkan hukuman lebih 12 bulan penjara dan denda melebihi RM2,000.

Beliau berkata, BN akan gunakan semua cara bagi mengurangkan peluang PH memenangi PRU akan datang.

Kerusi Batu bakal ditandingi Naib Presiden Gerakan, Dominic Lau, Azhar Tahya dari PAS dan calon bebas Prabakaran Parameswaran dan VM Panjamothy.

Sementara itu, peguam N Surendran menyifatkan keputusan SPR itu sebagai tidak sah, berlawanan dengan perlembagaan dan boleh diketepikan oleh mahkamah.

Memetik perkara 48(1)(e) Perlembagaan, beliau berkata pembatalan hanya berlaku jika ia melibatkan hukuman tidak kurang daripada RM2,000.

“Ini undang-undang sah yang bermakna denda dikenakan mestilah lebih RM2,000. Terdapat banyak autoriti undang-undang yang mengesahkan perkara ini,” katanya.

Tian Chua percaya BN tidak akan berjaya merampas Parlimen Batu daripada PH.