Hobi tunggang ‘superbike’ pilihan ibu moden

normah daim
Kredit gambar : ihsan Normah Daim

fmt ohsem inside articleBukan mudah membawa motosikal berkuasa tinggi bersaiz besar atau superbike. Dari segi ketahanan, kawalan keseimbangan, kos pengendalian yang mahal dan komitmen untuk beraksi antara perkara paling asas yang perlu diambil kira. Apatah lagi apabila ia melibatkan penunggang wanita.

Namun zaman sudah berubah. Kini, tangan yang sama memegang sudu dan kuali di dapur juga boleh mengendali superbike. Jantina bukan lagi isunya, cuma tanggungjawab seorang wanita, lebih-lebih lagi yang bergelar isteri dan ibu yang jauh lebih berat namun memilih hobi kental menjadikan mereka selangkah lebih hebat.

Normah Daim, 48, seorang juruteknik komputer dari Manjung memiliki motosikal Kawasaki ER6N 650 tidak melihat ia sebagai satu hobi yang didominasi lelaki.

“Ia diminati wanita, tetapi mungkin kekangan masa dan tanggungjawab menyebabkan tidak ramai yang terlibat. Minat wanita membawa motosikal besar semakin bertambah,” jelasnya.

Normah yang juga seorang ibu tunggal akui minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi bermula pada 2012 dengan motosikal Honda 250 CBR, kemudian beliau beralih kepada Kawasaki selepas setahun menimba pengalaman.

“Kini saya antara ‘biker’ yang aktif di Manjung. Saya juga Timbalan Setiausaha Manjung Bikers Club. Hampir setiap hujung minggu kami akan menjelajah menaiki motosikal,” katanya.

Hobi yang dianggap mewah ini turut membawa ketenangan bagi Normah dari kesibukan kerja serta rumah kerana sepanjang tunggangan, beliau hanya menumpu pada jalan. “Selagi kita berhati-hati dan kita patuh peraturan jalan, tiada masalah. Cuma bila masuk jalan yang mencabar, ia menjadikan kita belajar menjadi lebih teguh,” katanya.

Dari segi kos, Normah memberitahu dia membelanjakan lebih RM30,000 membeli motosikalnya selain aksesori seperti seluar berlapik (RM200), jaket (RM200), topi keledar (RM700), sarung tangan (RM100) dan sebagainya.

“Penyelengaraannya juga mahal, daripada tayar yang mencecah ratusan ringgit kepada peralatan ganti yang lain. Kalau mahu bawa motor besar, bersedialah untuk berhadapan belanja yang tinggi,” katanya berterus terang.

roslinda
Kredit gambar : ihsan Roslinda Shahmardan

Bagaimanapun bagi seorang lagi peminat motorsikal berkuasa tinggi, Roslinda Shahmardan, seorang suri rumah mengakui boleh mengawal belanja sambil mengembangkan minat kerana mendapat sokongan suami.

Roslinda, 37, berkata sejak memiliki anak, beliau sudah tidak seaktif dahulu dalam menunggang motosikal kuasa tingginya.

“Namun, suami saya selalu beri sokongan. Kalau tak jauh pun kami akan bawa motosikal bersama-sama di sekitar kawasan kediaman di Batang Kali,” kata Roslinda.

“Saya sudah jarang ikut kumpulan besar jelajah ‘long drive’. Apapun, bila wanita bawa motosikal besar, masyarakat beri pengiktirafan. Ia satu petanda yang baik,” katanya.

Status ibu dan isteri juga tidak dilihatnya sebagai kekangan, malah wanita beranak 2 itu berkata, cabaran kini hanyalah masa.

Selain ketahanan fizikal, hobi ini juga memerlukan pengetahuan permotoran. “Kami bukan sekadar menunggang di lebuhraya, kadang kala ia melibatkan jalan raya biasa, tanpa tar, jalan berliku dan berbatu-bata. Kita kena pandai mengimbangkan diri dan motor. Pada masa yang sama, kita juga kena bekalkan diri dengan pengetahuan teknikal permotoran,” jelasnya.

hamidah hamid
Kredit gambar : ihsan Hamimah Hamid

Wanita ketiga yang ditemui FMT Ohsem ialah Hamimah Hamid, seorang wartawan yang mula menunggang motosikal sejak di bangku sekolah, tetapi beralih kepada motosikal berkuasa tinggi bemula 1997.

Hamimah, 39, ibu kepada dua anak berkata, dia memperoleh kepuasan yang sukar dijelaskan apabila membawa motosikal berkuasa tinggi ini.

“Kita rasa bebas tanpa sekatan sesiapa, di samping rasa seronok. Paling best ialah, bila turun dari motor dan buka helmet, orang akan ternganga pandang kita, terutama sekali yang bawa motor itu wanita berbadan kecil,” katanya.

Turut menceritakan pengalaman sepanjang membawa superbike, Hamimah berkata dia pernah menyaksikan rakannya yang kemalangan sehingga terbabas dalam longkang hinggalah rakan yang tidak tahan sakit punggung sewaktu jelajah sehingga terpaksa berhenti membeli bantal untuk dilapik.

“Apapun pengalaman, minat membawa motosikal kuasa tinggi hanya bertambah. Kini, anak perempuan saya yang berusia 9 tahun pun tunjuk minat. Tiap kali saya bawa motosikal, dia mahu ikut,” tambahnya lagi.

5 artis wanita popular yang berkecimpung di dalam dunia motosikal berkuasa tinggi:

  • Erra Fazira
  • Dira Abu Zahar
  • Lisdawati
  • Linda Onn
  • Maznah Zolkifli