Pengangkutan awam pertama melibatkan pemandu wanita untuk penumpang wanita

riding-pink-1fmt-ohsem-inside-article1Wanita yang selama ini ragu-ragu dengan tahap keselamatan menggunakan pengangkutan awam peribadi yang didominasi kaum lelaki, kini tidak perlu bimbang lagi.

Perjalanan penumpang wanita dijamin selesa dengan Riding Pink, iaitu perkhidmatan pengangkutan perkongsian pertama di negara ini, khas untuk wanita sahaja.

Riding Pink yang dilancarkan pada Oktober lalu bertujuan memberi wanita peluang yang fleksibel, menambah pendapatan sekali gus menyediakan alternatif yang selamat serta sebagai pelengkap kepada aplikasi perjalanan perkongsian dan pengangkutan awam yang lain.

Pengasasnya, Denise Tan berkata Riding Pink yang buat masa ini hanya beroperasi di Lembah Klang, berkembang daripada idea untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk wanita.

“Sesetengah wanita ini mungkin hadapi kesukaran kembali bekerja selepas rehat yang panjang. Ada yang komited dengan keluarga dan bimbang meninggalkan anak untuk jangka masa yang lama,” katanya memetik isu paling ketara dalam kalangan wanita berkeluarga.

“Kebanyakan wanita khususnya suri rumah yang saya temui menyokong idea ini. Ditambah pula dengan fleksibiliti dan keupayaan mengimbangi kerja dengan komitmen domestik.

“Tambahan pula, dari pengalaman sebagai penumpang, saya akan berasa lebih selesa jika kenderaan itu dipandu wanita.”

Tambah Tan, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan dengan purata 50 pemanduan seminggu.

“Angka ini semakin meningkat dan 9 pemanduan dicatat pada minggu pertama. Setakat ini, hanya 3% permintaan yang tidak dapat dipenuhi, bagi sebuah usaha yang bermula secara kecil-kecilan dan manual buat masa ini,” kata Tan.

Tan berkata, perkhidmatan itu juga bertujuan menghapuskan atau sekurang-kurangnya mengurangkan situasi wanita diganggu ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Terdapat banyak kes yang dilaporkan di dalam dan di luar negara. Walaupun bukan secara langsung tetapi ia gangguan yang lebih halus terhadap penumpang wanita,” kata Tan.

Ini termasuk mengintai dan merenung penumpang menggunakan cermin kenderaan, atau perbualan yang tidak selesa melibatkan penumpang wanita.

“Saya juga menerima aduan daripada rakan-rakan wanita yang menerima panggilan dan pesanan ringkas yang tidak diingini selepas menggunakan khidmat pengangkutan tertentu. Walaupun ia bukan melibatkan isu-isu keselamatan atau tiada kes yang dilaporkan secara rasmi, namun penumpang wanita ini masih dalam trauma,” kata Tan.

“Oleh itu, kami berharap Riding Pink sekurang-kurangnya dapat mengurangkan situasi ini,” katanya.

Baru-baru ini seorang pemandu GrabHitch dilapor berkelakuan tidak senonoh terhadap penumpang semasa membawanya ke sebuah pusat beli-belah.

Ekoran itu, Grab mengumumkan penumpang GrabHitch akan diberi pilihan untuk memilih pemandu yang sama jantina.

Buat masa ini, Riding Pink kekal sebagai perkhidmatan pengangkutan niche yang dibangunkan untuk wanita.

Riding Pink juga menyediakan talian hotline sehingga tengah malam untuk mana-mana wanita yang memerlukan pengangkutan.

Caj pengangkutan berdasarkan kepada tambang minimum yang ditetapkan bersama-sama dengan jarak dan beberapa elaun tambahan untuk permintaan waktu puncak.

Perkhidmatan ini bermula pada kadar RM1 dan RM1 lagi untuk tempahan awal. Ia juga menggunakan tambang berdasarkan kalkulator dengan ruang rundingan untuk kedua-dua pemandu dan penumpang.

Mereka dibenarkan saling menawar sehingga mencapai harga yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Mereka yang berminat boleh menempah secara manual menggunakan laman Facebook Riding Pink. Tan memberi jaminan aplikasi mudah alih akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Tags: