Spritzer semai biji benih di kebun urban Keramat AU2

Spritzer_biji-benih

fmt-ohsem-inside-article1Spritzer Berhad (Spritzer) menerusi kempen Go Nature, Go Spritzer memberi suntikan baharu kepada komuniti Rumah Pangsa Taman Keramat AU2 (RPTKAU2) selepas menyemai kira-kira 500 biji benih pelbagai jenis sayur di kebun urban di situ.

Biji benih terdiri daripada sayur-sayuran seperti bendi, tomato dan terung disemai menerusi gimik khas, iaitu helikopter kawalan jauh yang melepaskan biji benih secara rambang di atas tanah kebun.

Projek komuniti itu dikembangkan Spritzer sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) untuk menekankan kepentingan bercucuk tanam dalam kalangan komuniti urban sekitar kawasan berkenaan.

Terdahulu, pasukan Spritzer melakukan jelajah jalanan ke beberapa lokasi awam untuk menyemai secara manual dengan menabur kira-kira 5,000 biji benih sebelum membawa konsep itu ke sini dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Pengarah Eksekutif Spritzer Berhad, Dr Chuah Chaw Teo berkata usaha itu seiring dengan nilai syarikat tersebut yang mengutamakan penjagaan alam sekitar.

“Sejak awal lagi, kami memastikan setiap langkah diambil untuk menjaga dan memelihara alam sekitar termasuk sumber air mineral yang kami lindungi tanpa terdedah kepada mana-mana pencemaran.

“Kempen Go Nature, Go Spritzer juga mengguna pakai inisiatif yang sama iaitu mengamalkan dan berkongsi kemakmuran alam kepada komuniti sekitar,” katanya.

Katanya, diakui projek komuniti ini akan membantu kira-kira 668 keluarga yang tinggal di sekitar RPTKAU2 untuk bercucuk tanam dan merasai sendiri hasil tanaman itu kelak.

“Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada mana-mana pihak. Sesiapa saja boleh mengambil bahagian dalam aktiviti berkebun di sini dan hasilnya dikongsi bersama. Kita kembali kepada nilai asal kita,” katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) RPTKAU2 Mohamad Halim Mohamad Said berkata, beliau amat mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta dalam membantu membangunkan kebun urban yang meliputi kawasan seluas 0.74 ekar.

Katanya, langkah itu membantu keluarga di kawasan sekitar mendapatkan sayur-sayuran dari kebun secara percuma atau separuh harga selain turut menjadi platform untuk orang ramai turun bekerja sebagai satu aktiviti fizikal.

“Setiap hari kita ada 8 hingga 10 orang yang datang bekerja pada waktu pagi dan petang. Ada di antara mereka, warga emas yang sangat meminati kerja berkebun.

“Bantuan kerjasama yang ditawarkan MPAJ dan syarikat swasta seperti Spritzer ini mengembangkan lagi minat dan motivasi untuk terus memelihara kawasan kebun urban ini,” kata Halim.

Halim berkata pihaknya menggunakan teknologi akua fonik dalam menyelenggarakan kebun di mana sumber air untuk tanaman diambil dari kolam berdekatan menggunakan paip.