Senarai cabaran media sosial yang pernah dan sedang trending

social-media

fmt-ohsem-inside-article1Beberapa tahun dahulu, wujud “cabaran” dalam media sosial di mana pengguna saling mencabar untuk memuat naik gambar atau video berkenaan sesuatu aksi. Mari kita imbas kembali cabaran media sosial ini, ada di antaranya masih menjadi ikutan.

 

Cabaran ice bucket – Ia dimulakan pada 2014 atas niat murni kutipan dana oleh Persatuan ALS di Amerika. Cabaran ini antara yang memperoleh respons paling meluas di seluruh dunia. Netizen bukan sahaja menyertai cabaran yang memerlukan seseorang ditelangkupkan sebaldi air sejuk demi meningkatkan kesedaran ALS, tetapi turut menderma duit kepada persatuan itu. Cabaran ini mengumpul lebih AS$100 juta untuk persatuan tersebut. Di Malaysia, ia antara cabaran paling popular dan ramai menyertainya, namun tidak pasti berapa ramai yang sebenarnya tampil menderma.

Cabaran Harlem Shake – Pada 2013, sekerat lagu Harlem Shake terus bermain dalam minda kebanyakan orang. Ini selepas seorang pengguna YouTube, Flithy Frank memuat naik video lagu Harlem Shake yang kemudiannya dipetik semula TheSunnyCoastSkate dengan rutin tarian yang akhirnya digunakan sebagai cabaran media sosial. Menurut YouTube, setakat Februari 2013, lebih 40,000 rakaman dimuat naik dengan kira-kira 700 juta tontonan. Maka, Harlem Shake adalah cabaran terbesar dengan trending paling meluas. Tarian ini menembusi pelbagai sektor, daripada atlet hinggalah pegawai tentera. Tidak ketinggalan, di Malaysia Harlem Shake disertai pelbagai pihak, termasuk badan beruniform, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

Cabaran dont judge me – Satu lagi cabaran yang masih trending khususya dalam kalangan remaja sehingga pertengahan tahun ini. Cabaran ini bermula sekitar awal tahun lalu. Remaja akan menempek muka dengan solekan melampau atau hodoh dan kemudian tampil dengan wajah sebenar atau yang cantik. Ubah suai dilakukan pada wajah, rambut, memakai kaca mata besar, bulu mata palsu, tompokan jerawat, gigi hitam dan sebagainya. Menariknya, hashtag #DontJudgeChallenge menjadi trending dengan lebih 85,000 posting pada hari sama. Cabaran ini turut dikecam sebagai menghina dan memburukkan diri selain dianggap gagal oleh sesetengah pihak di peringkat global.

Cabaran pinggang A4 – Apakah kesihatan dan kelangsingan bentuk badan seorang wanita boleh diukur dengan sehelai kertas bersaiz A4? Itulah cabarannya! Ia bermula di China dan mendapat reaksi meluas. Namun, ia juga dikritik sebagai satu aksi tidak bertanggungjawab, tidak sihat dan bertentangan hak seseorang. Dalam cabaran ini, seorang wanita perlu memegang helaian kertas A4 menutupi bahagian pinggang dan berselfie. Sebarang saiz kertas, iaitu 21cm dianggap sihat, ramping dan menepati kehendak cabaran. Di Malaysia, trend itu turut digunakan untuk pemasaran produk penjagaan badan dan pusat kecergasan, tetapi tidak begitu popular kerana dianggap membawa kesan negatif.

Cabaran Ramen pedas – Bolehkah saya cabar anda makan sepinggan mi ramen segera yang sangat pedas? Mi Korea Samyang Spicy adalah mi pedas yang menjadi pertaruhan sehingga syarikat mi terbabit melaporkan jualannya meningkat 35% pada 2015 berbanding tahun sebelumnya. Hong Kong, Singapura serta Malaysia merupakan penyumbang utama kepada peningkatan itu, semuanya kerana cabaran ini. Ia bermula selepas seorang lelaki Britain memuat naik video makan mi ramen pedas ini dan mencabar rakannya. Mi tersebut dikatakan menggunakan cabai paling pedas dan boleh membuatkan seseorang terasa kepedihan melampau. Selain mi ramen Samyang Spicy, pelbagai makanan pedas lain turut disenaraikan dalam cabaran ini.

Cabaran mannequin – Ya, cabaran yang sedang trending sekarang! Cepat lakukan sebelum ia hilang dalam alam maya ini. Cabaran ini memerlukan sekumpulan individu mempamer aksi seperti patung, tanpa sebarang gerakan atau bunyi. Anda seolah-olah sekumpulan patung mannequin yang diatur dalam pelbagai aksi dan pose. Cabaran ini bermula dengan hashtag #MannequinChallenge di media sosial seperti Twitter dan Instagram dipercayai dimulakan sekumpulan pelajar di Jacksonville, Florida pada Oktober 2016. Posting tersebut berkembang meluas hinggalah ke Malaysia. Terbaru cabaran mannequin turut disertai pengurusan AirAsia dan bosnya, Tan Sri Tony Fernandes.

https://www.facebook.com/tonyfernandes/?fref=ts

Terbaru, FMT Ohsem juga ingin mencabar anda!
Memandangkan terdapat banyak mesej, gambar, video dan sebagainya dimuat naik tanpa menentukan kesahihan atau kebenaran, sudah tiba masanya kita mewujudkan sebuah kempen kesedaran.
Ekoran itu, FMT Ohsem mencabar anda berkongsi hashtag #dunshareb4verifying dalam semua status yang dimuat naik ke laman media sosial mulai hari ini, jom!