Trafik, beli-belah, kopi telur, Ha Long Bay mewarnai lawatan Hanoi

hanoi-bayfmt-ohsem-inside-article1“Gila!” adalah perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut penulis ketika kali pertama menjejakkan kaki di ibu kota Vietnam ini, tatkala melihat keadaan trafiknya yang sesak dan padat.

Kesibukan trafik, pasti membuatkan seseorang mengurut dada terutamanya ketika mahu melintas jalan raya. Jalannya begitu sesak dengan motosikal yang merupakan kenderaan utama penduduk di sini, ditambah hiruk-pikuk bunyi hon pelbagai kenderaan.

Meskipun adanya lampu trafik, kereta dan lautan motosikal bergerak serentak, saling menyelit dan bersimpang. Penulis sukar melintas jalan tetapi pengguna tempatan selesa jalan berlenggang kangkung melintas di tengah-tengah kesibukan jalan raya itu.

Di sini, cenderahati t-shirt sinis dengan gambar lampu trafik tertulis “can go” bagi warna lampu trafik hijau dan kuning, serta “still can go” bagi lampu merah, cukup terkenal, jelas menggambarkan keadaan trafiknya.

Tidak hairanlah, kadar kemalangan jalan raya di Vietnam setiap tahun dilaporkan tinggi. Menurut pemandu pelancong Ngo Van Tung, 26, anggaran 24 kematian dicatatkan setiap hari pada tahun lepas, iaitu purata seorang setiap sejam!

Keunikan Hanoi

Menurut Tung, dianggarkan terdapat kira-kira 45 juta motosikal di seluruh Vietnam. Populasi negara itu 92 juta orang, 7.58 juta daripadanya adalah penduduk Hanoi.

hanoi-2

Faktor negara yang kecil dengan kepadatan penduduk yang tinggi bukan sahaja menyebabkan motosikal dijadikan pengangkutan utama, malah rumah-rumah yang dibina juga amat kecil tetapi tinggi, kata Tung.

Untuk berjalan-jalan di sekitar Hanoi, seseorang itu boleh menyewa skuter (jika cukup berani) dengan menunggang sendiri atau menjadi pembonceng, menggunakan perkhidmatan teksi atau berjalan kaki.

Penulis dan rakan-rakan wartawan yang mengikuti rombongan pelancaran penerbangan ulung Malindo Air ke bandar ini baru-baru ini, memilih untuk berjalan kaki meninjau Hanoi dari Hotel Cosiana, tempat penginapan ketika kunjungan 3 hari/2 malam kami.

Pemilik hotel, kebetulannya rakyat Malaysia James Segaran, yang berasal dari Seremban, menyertai kami bersiar-siar menikmati keindahan waktu malam Tasik Hoan Kiem serta seni bina bangunan berusia berabad lamanya yang dipengaruhi budaya Asia Tenggara, China dan Perancis.

Hanoi dan membeli-belah tidak dapat dipisahkan, maka tidak lengkap kunjungan ke sini sekiranya tidak singgah membeli-belah pelbagai barangan seperti cenderahati, kain sutera dan kraftangan tempatan dengan harga yang cukup murah di sekitar ‘Old Quarter’.

Terdapat kawasan khas dikenali “Shoe Street”, yang pastinya membuatkan seseorang itu rambang mata melalui deretan pelbagai kedai kasut. Selain itu, pasar malam sepanjang satu kilometer di Hang Bac Street juga cukup meriah!

Pastikan anda menikmati kopi hitam Vietnam yang terkenal atau mencuba minuman wajib Vietnam iaitu “Egg Coffee”, kopi yang dicampur dengan kuning telur.

Makanan halal

Sejujurnya, mencari makanan halal di Hanoi tidaklah mudah. Meskipun banyak gerai makanan tempatan di sepanjang jalan, kebanyakannya menjual makanan tidak halal termasuklah hidangan haiwan eksotik.

hanoi-3

Atas sebab itu, James terpanggil untuk membuka bukan sahaja restoran D’Lions tetapi juga Hotel Cosiana, bertaraf 3 bintang yang berkonsepkan 100% halal di Le Duan Street, terletak strategik di Old Quarter.

Dua chef didatangkan khas dari Malaysia sebagai tukang masak selain bekalan ayam dan daging halal diperoleh melalui seorang imam di masjid Al-Noor, Hanoi.

“Pelbagai rempah dibawa terus dari Malaysia dan restoran menghidangkan makanan Malaysia dan Vietnam, jadi jangan terkejut jika sambal belacan dan teh tarik disajikan di sini.

“Malah jika ingin menikmati Vietnamese Noodle Soup yang lazat, ini satu-satunya restoran halal di Hanoi yang menyediakannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kini pelanggannya datang dari sepelusuk dunia terutamanya Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei yang mencari penginapan berkonsepkan halal di bawah satu bumbung.

“Dibuka sebagai hotel biasa kira-kira 7 tahun lalu, namun saya menyedari agak sukar untuk menarik orang Islam datang ke sini kerana kesukaran mencari makanan halal ketika itu.

“Jadi saya tekad untuk fokus kepada pasaran halal dengan membuka restoran halal di dalam hotel. Pada mulanya perniagaan tidak berapa baik kerana orang tidak tahu kewujudannya tetapi lama-kelamaan hotel dan restoran ini menjadi sebutan ramai,” katanya sambil menambah hotelnya mempunyai 50 bilik.

James berkata pasaran halal di Hanoi kini kian meningkat, yang menyaksikan pelbagai pilihan makanan halal disediakan termasuklah restoran India dan Arab.

Keasyikan Ha Long Bay

Alang-alang berada di Hanoi, rugi jika tidak mengunjungi Ha Long Bay, destinasi peranginan yang pastinya memukau. Terletak 165 kilometer dari Hanoi perjalanan dengan bas memakan masa kira-kira 4 jam.

hanoi-1

Ha Long Bay diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1994 dan adalah satu daripada 7 keajaiban alam di dunia.

Dikatakan, Ha Long bermaksud “descending dragon”, sempena hikayat lagenda – ibu naga dan anaknya yang dihantar turun dari syurga oleh Jade Emperor untuk membantu rakyat Vietnam purba mempertahankan negara daripada penceroboh di lautan.

Ibu naga dan anaknya membakar musuh dengan api dan mengeluarkan batu zamrud besar sebagai pertahanan, yang kemudiannya berubah menjadi lebih 1,600 pulau dengan pelbagai bentuk dan ukuran.

Memang cantik dan menakjubkan! Bagaimanapun penulis merasakan kata-kata itu tidak cukup untuk menggambarkan keindahan Ha Long Bay yang mirip sebuah lukisan.

Penulis dan rombongan dibawa belayar menaiki kapal pesiaran kecil menyusuri pulau-pulau dan bukit batu kapur selama lebih sejam, sambil dihidangkan makanan laut segar yang dimasak ala Vietnam.

Rombongan kami juga dibawa melawat Gua Thien Chung yang dipercayai berusia 700 juta tahun dengan keluasan 10,000 meter persegi. Pembentukan stalaktit dan stalagmit serta formasi seakan-akan kepala naga dan pelbagai haiwan lain di situ pasti membuatkan sesiapa saja terpegun.

Pakej yang ditawarkan ke Ha Long Bay termasuk pengangkutan dan makanan bermula serendah USD$30 (RM135). Ada juga pakej penginapan di dalam kapal dan aktiviti lain seperti memancing, berkayak dan menyelam.

Jika anda ingin ke Hanoi, penerbangan Malindo Air berlepas setiap hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Justeru, jangan tunggu lagi, jomlah ke Hanoi!