
Tiga hari berturut-turut saya berjalan dari satu lokasi ke satu lokasi. Dari Shah Alam ke Teluk Intan, kemudian ke Bentong, turun semula ke Nilai dan kemudian ke Klang.
Sepanjang perjalanan, satu perkara yang tidak boleh dikawal ialah “nature’s call”!
Kalau dah kena berjalan jauh bawa kereta, diselang-seli minum kopi untuk terus berjaga bagi perjalanan malam, keperluan tandas salah satu perkara yang tidak dapat dielak.
Sepanjang di lebuh raya utama, langsung tiada masalah. Tandas di R&R lazimnya dalam keadaan tip top, bersih, sentiasa dikemaskini, siap ada jadual yang membolehkan kita buat rujukan tugas pembersihan.
Sekurang-kurangnya berbaloilah bayaran tol untuk kemudahan penggunaan tandas.
Tetapi bagaimana dengan perjalanan melibatkan jalan dalam bandar atau meyelusuri pekan-pekan kecil?
Keluar masuk, keluar masuk, hajat sebenar tak dapat direalisasikan kerana keadaan tandas yang kotor. Biarlah nak kata saya terlalu sensitif atau terlalu memilih, tetapi kalau tidak bersih, berbau dan dalam keadaan yang memualkan itu bukan lagi “boleh digunakan”.
“Mak, tolong periksa tandas di tempat ini. Saya tak mahu keluar masuk. Dah lama menahan ni,” pesan saya kepada ibu selepas 5 kali turun naik gagal jumpa tandas bersih, sekurang-kurangnya boleh digunakan.
Mujur kali ini, mak tersenyum menunjukkan petanda baik.
Geli rasanya apabila kita boleh duduk berjam, menikmati makanan yang sedap tetapi apabila sampai di tandas, semuanya seperti tunggang terbalik.
Kita juga melihat tukang masak dan pekerja premis makanan keluar masuk tandas yang sama tanpa sebarang rasa bersalah.
Mungkin selepas ini, kita kena pastikan tandas itu bersih terlebih dahulu sebelum makan di sesebuah premis makan.
Amnya, kebersihan tandas di tempat awam khususnya restoran, kedai dan premis perniagaan yang terbuka masih di tahap buruk. Perkara ini pasti diakui oleh setiap orang yang pernah melalui pengalaman yang sama.
Pengalaman menahan buang air selama beberapa jam dan sejauh beberapa kilometer, semuanya berlaku kerana tiada tandas atau tiada tandas yang bersih.
Kita semua sedar lazimnya ia membabitkan kedai makan kecil atau yang terletak di lokasi kurangnya perhatian majlis bandaran membuat pemeriksaan sehingga tandas dibiar tidak terjaga dan kotor.
Ini termasuk keadaan bersepah, air paipnya kecil sehingga banyak kesan kotoran melekat dan ada juga yang lantainya berkarat dengan kotoran dan sebagainya.
Diharap pihak berkuasa mengambil inisiatif memberi tekanan kepada masalah kebersihan tandas yang nampaknya masih tidak berkesudahan.
Bagi kemudahan tandas di stesen minyak, mujur ada yang bersih, sangat bersih dalam masa sama, ada yang kotor. Apapun keadaan tandas di tempat awam, ia juga berbalik kepada moral pengguna itu sendiri.
Asyik salahkan pemilik premis, tukang cuci, bagaimana pula dengan integriti penggunanya?
Sebagai pengguna kita semua bertanggungjawab dalam hal ini, kerana kegagalan menjaganya akan menyusahkan diri kita jua.
Entah apa masalah kesihatan yang akan disebabkan akibat menahan buang air atau menggunakan tandas kotor.