Cabaran miliki rumah sebelum usia 30 tahun

house12

Dashen Vengesen teruja berkongsi berita baiknya. Resolusi 2016 berjaya dicapai dengan sokongan bakal isterinya untuk memiliki sebuah rumah. Beliau baru berusia 24 tahun.

“Semuanya berkat restu orang tua,” Dashen memulakan bicara.

“Inspirasi saya ialah bapa yang sangat peka dalam merancang kehidupan. Saya ikut jejak langkah beliau. Saya merancang sejak berusia 19 tahun lagi,” katanya.

Pada usia 20 tahun, Dashen memperoleh pekerjaan tetap dan membeli kenderaan.

Empat tahun selepas itu, beliau berjaya memiliki rumah bernilai RM360,000 dengan bantuan teman wanitanya.

Pemuda ini sanggup berjimat 30% hingga 40% daripada gajinya setiap bulan bagi memastikan beliau mempunyai wang secukupnya dalam simpanan.

Selain itu, pengacara majlis separuh masa ini juga menggunakan semua platform yang ada untuk menjana pendapatan tambahan.

“Saya tidak minta duit daripada ahli keluarga, sebaliknya menggunakan wang simpanan dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Saya beli rumah menggunakan akaun bersama dengan teman wanita, saya fikir ia memudahkan proses pembelian,” katanya yang berasal dari Rawang.

Buat masa ini Dashen hanya membayar faedah sehingga rumah tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2018 nanti.

Dashen2

Pendekatan menggunakan akaun bersama menjadi pilihan bagi pembelian rumah pertama.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ita berkata beliau terpaksa berbuat demikian supaya layak mendapat pinjaman selain memudahkan membuat bayaran.

Ita membeli rumah berharga RM108,000 di Seksyen 24, Shah Alam ketika mengandungkan anak ke-2 pada 2008.

“Memang susah tapi bertekad untuk memiliki rumah sendiri. Bulanan saya bayar RM600. Masa bayar deposit, saya terpaksa pinjam daripada kakak dan mengeluarkan duit KWSP,” katanya.

Bagaimanapun, Ita turut berhadapan masalah besar apabila suaminya diberhentikan kerja.

Beliau terpaksa menjual kereta suami untuk terus membuat bayaran bulanan.

Dalam keadaan tertentu, seseorang yang tidak mampu membayar duit rumah kepada bank, berdepan risiko harta dilelong atau lebih teruk, pemilik boleh diisytiharkan muflis.

Apapun, selepas 4 tahun, kini Ita akui keluarganya lebih stabil dan baru sahaja membeli rumah ke-2 tahun lalu di Seremban.

Ia kini disewakan dan Ita bergantung kepada duit sewa itu sebagai sebahagian pendapatan bulanannya.

“Nasib baik saya beli rumah awal. Rasanya kalau sekarang memang tak mampu kerana di Shah Alam untuk memiliki rumah atas tanah, mustahil untuk dapat kurang daripada RM500,000,” ujarnya lagi.

Sememangnya, membeli rumah pada usia muda tidak akan menyesalkan kecuali si pembeli tersalah membuat pilihan seperti rumah, agen atau bank.

Kumpul harta semasa muda

FMT Ohsem menemui seorang penganalisis dan perunding kewangan bebas, Nizam Shah yang mengakui tindakan membeli hartanah pada usia muda selalunya perkara yang baik.

Nizam-Shah

“Saya sendiri, melabur pada usia 26 tahun secara kebetulan apabila melawat sebuah tapak pembinaan. Saya menggunakan duit simpanan untuk deposit dan bakinya menggunakan duit KWSP,” katanya.

Nizam akui, simpanan adalah penting dalam melabur. Justeru, beliau memastikan 5% hingga 10% daripada gajinya setiap bulan untuk simpanan.

Selain itu, Nizam menggunakan pelbagai pendekatan simpanan misalnya kumpul duit kutu, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan pelan simpanan insurans.

“Tidak dinafikan, 10 tahun dahulu, harga rumah rendah berbanding sekarang. Tetapi niat dan disiplin paling penting dalam mencapai matlamat memiliki hartanah, tidak kira rumah, tanah atau saham,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan bank.

Menggunakan pendekatan dan disiplin diri yang sama, Nizam turut membeli rumah ke-2 pada usia 29 tahun.

“Kini, saya cuba selesaikan hutang kedua-dua rumah dengan sokongan isteri yang merupakan seorang doktor.”

“Mengapa beli rumah pada usia muda baik? Pertama, anda akan mendapat rumah pada harga berpatutan dan dengan peningkatan tahun, gaji, ansuran bayaran lebih stabil. Beli rumah pada usia muda, katakan dengan tempoh pinjaman 30 tahun, kadar bayaran juga rendah.

“Ke-2, kerana pada usia 30-an, anda boleh merancang dengan baik untuk membuat bayaran balik dengan pelan yang fleksibel,” ujarnya.

Nizam membeli rumah pertama pada harga RM73,000 yang kini bernilai RM230,000 mengikut harga pasaran.

Manakala, rumah ke-2 pula dibeli dengan harga RM220,000 pada 2009 dan kini bernilai RM320,000.00.

“Anda boleh lihat nilainya?” soal Nizam yang menasihati orang muda supaya tidak takut membeli hartanah memandangkan ia usia paling selamat membuat simpanan, melabur dan mengembangkan kedudukan kewangan diri.

Jangan malu dapatkan bantuan

Bagaimana jika tersalah langkah membeli rumah sehingga melibatkan diri dengan masalah?

“Dalam apa-apa situasi, katakan kehilangan kerja, anda masih perlu buat bayaran ansuran seperti dalam perjanjian. Dalam keadaan itu, kita boleh gunakan akaun ke-2 KWSP atau simpanan lain ataupun hubungi pihak bank untuk menjadualkan semula bayaran.

“Lakukan pada peringkat awal lagi, dengan menulis kepada bank. Jika kita abaikan bayaran sehingga 3 bulan, ia akan membawa kepada pelbagai masalah dan peningkatan dalam faedah bayaran.

“Selalunya ada ruang untuk tawaran tetapi si pembayar perlu tampil menjelaskan situasi. Kelewatan bertindak boleh membawa risiko besar,” kata Nizam.

Dalam menjelaskan prosedur bantuan, Nizam juga memberi amaran supaya tidak mendekati pihak perunding ke-3 atau syarikat tebus semula untuk pertimbangan, “Pergi terus ke bank terlibat!” katanya.

Jelas, terlalu banyak bantuan dan sokongan ditawarkan kerajaan bagi rakyat memiliki rumah sendiri. Bagaimanapun, ramai mengeluh ia bukan semudah diucapkan.

Seorang pegawai di pejabat undang-undang yang banyak mengendalikan pemindahan hak bahagian hartanah, Fadhil Qayyum Rasul berkata kegagalan membeli rumah pada usia muda boleh mengakibatkan masalah kepada mereka yang masih membina status kewangan.

fadhil1

“Setiap tahun harga rumah meningkat dan tidak akan turun walau apapun orang kata. Tambahan pula untuk mendapatkan tempoh pinjaman bank untuk 35 tahun, hanya yang muda sahaja layak. Jika saya beli pada usia 45 tahun, saya hanya mampu buat pinjaman 20 tahun, dan komitmen bulanan pasti tinggi,” katanya.

Fadhil membeli rumah pertamanya pada usia 26 tahun sebagai pelaburan untuk menjana pendapatan pasif.

Buat aturan kewangan

“Saya juga ada kereta, kena bayar PTPTN tetapi saya buat aturan kewangan supaya terus dapat memiliki rumah,” katanya.

Seorang lagi wanita muda yang ditemui, Wong Marianne berkata beliu mengambil langkah melabur ke atas hartanah berharga RM550,000 pada usia 26 tahun.

“Saya selalu bersedia melabur hartanah dan menabung sejak bekerja. Bila dapat rumah idaman, saya terus beli kerana percaya boleh membayarnya.

“Pada pendapat saya, tiada langkah betul atau salah dalam hal ini. Ia mengenai sama ada kita bersedia atau tidak. Dan hanya diri kita sahaja boleh menjawab soalan ini. Perlu bersedia dari segi kewangan dan mental,” jelasnya.

Katanya, langkah ini mendorong menggunakan wang untuk tujuan yang baik, di mana nilai aset (harta) akan berkembang manakala wang tunai boleh cair.

“Namun ada kelemahan memiliki hartanah pada usia muda ialah kita boleh salah menilai masa depan pelaburan dan sama ada hartanah itu boleh disewa bagi menjana pendapatan serta memastikan komitmen bulanan dipenuhi,” jelas Marriane.