CAP resah angka pesakit mental di Malaysia atasi purata global

CAP resah angka pesakit mental di Malaysia atasi purata global

Kajian WHO merekodkan seorang daripada 4 orang mengalami gangguan mental manakala Malaysia hampir mengatasi purata global dengan 1 daripada 3 dikesan hadapi masalah mental.

mental_malaysia_600
fmt-ohsem-inside-article1Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015 menunjukkan seorang daripada 3 individu mengalami masalah mental. Angka ini dijangka meningkat, lebih-lebih lagi menjelang 2020, tahun sasaran bagi negara mencapai status berpendapatan tinggi.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengakui gaya hidup dan tekanan dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa kini sebagai penyumbang kepada masalah itu.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 1 daripada 4 orang mengalami gangguan mental dan angka yang direkodkan di Malaysia hampir mengatasi purata global itu.

“Angka ini meresahkan. Di Malaysia, masalah mental masih dilihat sebagai penyakit terlarang menyebabkan ia disembunyikan hingga sukar dikawal,” katanya dalam satu kenyataan media.

CAP menyenaraikan beberapa faktor utama kepada masalah ini:

Kegagalan menikmati zaman kanak-kanak

  • Kanak-kanak diinstitusikan lebih awal daripada sebelumnya di mana mereka dimasukkan ke alam persekolahan dan diberi tekanan akademik. Kelas tuisyen, muzik, tenis dan pelbagai aktiviti kurikulum tambahan menyebabkan mereka saling bersaing. Waktu bermain lenyap dan masa lapang dihabiskan dengan menonton TV atau bermain gajet. Kediaman seperti apartmen dan flat menghalang mereka bermain di kawasan yang luas dan menghijau.

Kemahuan yang tidak berkesudahan

  • Segulung ijazah belum memadai. Pada zaman kemahuan mengatasi keperluan, misalnya kereta, rumah, peralatan canggih, busana pereka terkenal, hiasan dalaman dan luaran rumah yang menarik, serta melancong setiap tahun. Akibatnya hutang semakin menimbun. Kajian Manulife Investor Sentiment Index (MISI) mendapati warga Malaysia menanggung hutang paling tinggi di Asia.
  • Kira-kira 68% menanggung hutang, dua kali ganda purata serantau iaitu 33%. Kebanyakan hutang disebabkan perbelanjaan hidup (60%) dengan bayaran sewa (44%) dan pendidikan anak (37%).

Pendidikan berdasarkan prestasi

  • Pendidikan tertumpu kepada skor A. Yang cemerlang diagungkan, yang terabai dianggap tercicir lalu membawa pelbagai masalah sosial dan mental. Sistem pendidikan sepatutnya digerakkan ke arah perkembangan individu secara holistik berdasarkan keupayaan masing-masing.

Tekanan di tempat kerja

  • Suasana di tempat kerja menambahkan stres. Ganjaran dan insentif kepada pekerja cemerlang manakala yang gagal diselubungi pelbagai sentimen negatif. Ini boleh membawa kepada masalah mental. Syarikat yang menekan pekerja meletak jawatan apabila gagal mencapai sasaran. Ini bukan saja menyebabkan kehilangan mata pencarian tetapi kemurungan.

Aspek kerohanian merosot

  • Minda dipenuhi usaha mengejar kebendaan dan bergelut untuk hidup, menyebabkan hilangnya aspek kerohanian yang mampu memulihkan seseorang secara dalaman. Berikutan itu, CAP menasihati supaya mengikut cara hidup yang lebih sederhana tanpa membelakangkan norma kemajuan.

Di peringkat peribadi:

  • Ketahui keperluan berbanding kemahuan dan kurangkan penggunaan yang tidak bermakna dan membazir. Luangkan masa untuk menikmati perkara mudah dalam hidup.
  • Kurangkan ketagihan kepada peralatan dan habiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.
  • Berhati-hatilah dengan tipu daya iklan, anda cuma sasaran jualan.
  • Tetapkan matlamat yang bermakna dan realistik.

Di peringkat dasar:

  • Kurangkan beban dan persaingan dalam sistem pendidikan. Beri ganjaran kepada pelajar atas usaha mereka dan bukan sekadar keputusan akhirnya.
  • Batasi perkembangan kerana tanpanya kita cenderung terdedah kepada tekanan untuk menunjukkan kemampuannya.
  • Semai diri dengan kemahiran hidup pada setiap peringkat.
  • Kembangkan kemudahan perkhidmatan kaunseling di seluruh negara dan bukan sekadar di pusat bandar saja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.