Awas, jangan makan laici dengan perut kosong

lycheefmt-ohsem-inside-article1Ahli sains dari Amerika Syarikat dan India mendapati makan laici dengan perut kosong adalah punca lebih 100 kanak-kanak mati di sebuah ladang di utara India.

Selama lebih 2 dekad, kanak-kanak yang sihat tiba-tiba diserang sawan dan tidak sedarkan diri. Kematian hampir separuh daripada kanak-kanak itu membingungkan doktor.

BBC memetik satu penyelidikan yang diterbitkan jurnal perubatan “The Lancet” mendedahkan kanak-kanak terbabit mati akibat toksin hipoglisin dalam laici.

Menurut jurnal itu, kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak miskin di wilayah pengeluar utama laici di India, di mana mereka akan makan buah gugur di kebun.

Laici mengandungi toksin hipoglisin yang boleh menghalang keupayaan badan menghasilkan glukosa dan memberi kesan kepada kanak-kanak yang lazimnya mempunyai tahap gula rendah kerana tidak makan malam.

Kanak-kanak terbabit meraung kesakitan kerana otak mereka bengkak sebelum diserang sawan dan tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak sakit di Hospital Muzaffarpur antara Mei hingga Julai 2014 mendapati mereka diserang wabak sama, iaitu otak bengkak dan sawan seperti dialami kanak-kanak di kepulauan Caribbean.

Ekoran itu, pegawai kesihatan yang melawat ladang tersebut mengarahkan ibu bapa memastikan anak mereka makan malam dan mengehadkan pengambilan laici khususnya pada waktu pagi.

Kanak-kanak yang mengalami gejala berkaitan wabak itu perlu dirawat untuk hipoglisemia atau kadar gula darah rendah, kata pegawai.