Jadi duta jam tangan terkenal, aura Neelofa setanding bintang Bollywood

neelofa-titanfmt-ohsem-inside-article1Tampil menawan dalam persalinan blaus dan seluar baldu lembut bertudung satin perang, aura wanita bernama Noor Neelofa Mohd Noor sudah cukup besar untuk memeriahkan majlis.

Eh, sekejap… saya sepatutnya menulis mengenai majlis jam tangan Titan, pengeluar jam tangan ke-5 terbesar di dunia dan kerjasama mereka dengan jelitawan Neelofa sebagai duta terbaharu mereka.

Tersasar pula apabila teringatkan Neelofa dan sambutan peminat beliau semalam. Manakan tidak, Neelofa kini seiring bintang Bollywood yang pernah menjadi duta jam tangan Titan, iaitu Katrina Kaif dan Amir Khan.

Neelofa rasminya menjadi wanita Malaysia pertama menjadi duta jam tangan itu sekaligus wanita berhijab pertama yang bakal mewarnai semua iklannya.

“Personalitinya yang berani dan penuh dedikasi dalam mencapai kejayaan amat bertepatan dengan moto jenama ini,” kata Ketua Unit Perniagaan, Bahagian Antarabangsa Titan Company Ltd., Vijesh Rajan.

Manakala Neelofa pula mengakui teruja atas pemilihan itu.

“Saya terpesona dengan koleksi Edge kerana rekaannya yang ultra nipis, elegan dan menggunakan teknologi terkini,” kata Neelofa.

Titan Edge ialah koleksi jam tangan senipis 3.5mm, mempunyai pergerakan sehalus 1.15mm dengan kemasan elegan. Bayangkan ia jam ternipis di dunia, senipis kad kredit.

Satu lagi pilihan Neelofa ialah koleksi Raga, rangkaian paling laris diinspirasikan daripada kecantikan wanita moden.

Dalam majlis itu turut dilancarkan kempen “Lahirnya Detik Kejayaan” yang mengetengahkan Neelofa dalam semua kempen digitalnya mengenai detik kejayaan artis yang juga usahawan bersama Titan.

FMT Ohsem turut mengadakan sesi soal jawab bersama Vijesh untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai hala tuju Titan di Malaysia khususnya selepas bekerjasama dengan Neelofa.

FMT Ohsem: Adakah setahun mencukupi untuk bekerjasama dengan Neelofa sebagai duta?

Vijesh: Buat masa ini kontrak kami untuk setahun tetapi mahu terus menyambung jika kedua-dua pihak berminat. Kami juga berbesar hati jika Neelofa mahu bekerjasama dalam tempoh yang panjang, mengusahakan produk Titan untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia.

FMT Ohsem: Titan sudah berada di Malaysia sejak lebih 10 tahun, kenapa baru sekarang memilih duta dan mengapa Neelofa?

Vijesh: Selama ini kami mengkaji pasaran Malaysia kerana ia penting bagi Titan. Sekarang Titan yakin ini adalah masanya. Jadi, Neelofa adalah orang yang sesuai dengan semangat Titan itu sendiri. Kami ada beberapa orang dalam minda, tetapi hanya Neelofa paling berhak, bukan sahaja kerana kerjayanya sebagai pelakon tetapi usahawan berjaya selain pengikutnya yang ramai dan setia.

FMT Ohsem: Titan mengeluarkan lebih 300 rekaan setahun, bagaimana anda pastikan ia tidak ketinggalan zaman? Apakah jaminan rekaan terbaru akan terus kekal relevan?

Vijesh: Keinginan orang muda sekarang berbeza. Mereka cepat bosan dan mahukan sesuatu yang baru hampir 3 bulan sekali. Jadi Titan kena pastikan rekaan baru menepati perubahan ini. Jika Titan gagal mengurus, ia akan menjadi rekaan ketinggalan zaman tetapi di Titan kami merancang secara teliti.

FMT Ohsem: Jenama jam tangan lain memperkenalkan pelbagai jam berteknologi tinggi, adakah Titan lebih memilih untuk menjadi jam tangan aksesori sahaja?

Vijesh: Oh tidak. Sebenarnya di negara ibu pejabat di India, kami mempunyai jam tangan pintar di bawah jenama Juxt. Kami juga membangunkan beberapa jam tangan pintar mengikut keperluan, misalnya jam tangan dengan elemen keselamatan untuk wanita dan sebagainya. Titan berpegang kepada prinsip supaya menjadi peneman dan perancang masa. Kami akan pastikan ia kekal.

Titan menawarkan koleksi jam tangan untuk lelaki dan wanita, pada harga mampu milik bermula RM220 dan boleh disesuaikan dalam pelbagai gaya, sama ada untuk majlis rasmi, sukan atau kasual.