Noor Tagouri – pembaca berita berhijab pertama di Amerika Syarikat

Noor-Tagouri

fmt-ohsem-inside-article1Wanita ini pernah menjadi sensasi media sosial 5 tahun yang lalu.

Bukan sensasi seperti yang anda bayangkan, tetapi kerana dia mahu menjadi pembaca berita berhijab pertama di Amerika Syarikat.

Ketika berkongsi impiannya itu pada 2012, Noor Tagouri, gadis kacukan Amerika-Libya terus menjadi hit di Facebook, Instagram dan dan Twitter dengan beratus ribu pengikut.

Tidak berhenti di situ saja, dia terus berusaha mencapai cita-citanya yang diimpikan sejak berusia 19 tahun.

Selepas tamat sekolah tinggi pada usia 16 tahun, dia menamatkan pengajian ijazah dalam bidang kewartawanan penyiaran dari Universiti Maryland-College Park pada usia 20 tahun.

“Saya mahu bermula awal kerana bukan mudah untuk seorang yang berhijab seperti saya dapat peluang dalam industri ini,” kata Tagouri kepada CNBC.

Ketika di kolej, Tagouri membuat kerja sampingan berkaitan kewartawanan di syarikat media seperti ABC dan CBS, selain membina rangkaian.

Kini, pada usia 23 tahun, Tagouri menjadi pembaca berita berhijab pertama di Amerika di rangkaian berita video, Newsway.

Pengalaman, fotograf dan penampilannya di media sosial menawarkannya kerjaya itu.

Selain menjadi pembaca berita, dia juga seorang penceramah motivasi antarabangsa.

“Buat penyelidikan sebelum berjumpa dengan seseorang. Tawarkan mereka kopi atau bagel,” kata Tagouri.

“Ingat, tiada siapa yang berhutang dengan kita, mereka tidak berhutang respon dengan kita. Mereka tidak berhutang masa dengan kita jika mereka sanggup meluangkan masa dan hargailah,” katanya.

Noor-Tagouri

Data menunjukkan hanya 13% golongan minoriti di bilik berita dan wanita ini tahu impiannya untuk menembusi industri ini bukanlah mudah. Ini kerana Amerika tidak pernah meletakkan pembaca berita yang berhijab di skrin.

“Sejujurnya, kejayaan itu datang kepada mereka yang menjadi diri sendiri bukan meniru gaya orang lain. Saya berhenti menjadi orang lain di kaca tv dan sebaik saya berhenti berbuat demikian, semuanya berjalan lancar,” ujar Tagouri.

Kejayaannya itu menggalakkan wanita ini berhijab sebagai nilai tambah.

“Sebagai wanita berhijab, saya mampu mendapatkan berita yang mungkin sukar diperolehi oleh orang lain. Identiti saya membawa kepada kejayaan dan tentu sekali ia bukan halangan,” kata Tagouri.

Dia gembira kerana mencapai impiannya dan kini sedang mengacara sebuah program, “A Woman’s Job”. Program ini mengisahkan kisah inspirasi wanita dalam bidang masing-masing.

Kini, Amerika sudah ada pembaca berita dan pengacara berhijab.