Ingat lagi hobi kumpul setem?

setem

fmt-ohsem-inside-article1Pada zaman ledakan teknologi maklumat yang menyaksikan surat-menyurat bukan lagi medium penghubung untuk bertanya khabar, mengumpul setem boleh dianggap sebagai satu hobi agak janggal.

Jika dahulu pelajar sekolah mempunyai hobi ini dipandang tinggi oleh rakan-rakan terutama apabila mempunyai setem dari luar negara, namun kini ia semakin dipandang sepi dan dianggap hobi yang membosankan berbanding bermain permainan video.

Bagi guru Penyelaras Kelab Setem dan Filateli Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah Kuantan, Nor Azlina Zainal Abidin, rata-rata pelajar kini juga didapati jarang menulis surat dan poskad kerana lebih gemar menggunakan e-mail serta media sosial untuk berinteraksi.

“Perkembangan tersebut agak menyedihkan kerana ia secara tidak langsung turut mengurangkan kemahiran pelajar untuk menulis walaupun ada diajar di sekolah.

“Sehubungan itu pihak sekolah mengambil inisiatif menyemai kembali hobi ini menerusi Kelab Setem dan Filateli ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Norazlina berkata hobi ini perlu terus dihidupkan kerana melaluinya pelajar dapat menimba banyak pengetahuan mengenai negara sendiri mahupun antarabangsa.

“Setem bagaikan jendela kecil yang dipersembahkan secara menarik sesuatu sejarah, peristiwa penting, budaya atau ikon terkenal di seluruh dunia.

“Ini akan menarik minat pelajar untuk lebih mendalami apa yang dipaparkan pada setem dan poskad menerusi mata pelajaran yang diajar di sekolah seperti sejarah, geografi, sains dan sebagainya,” katanya.

Nor Azlina berkata kelab yang ditubuhkan sejak 2014 itu setakat ini dianggotai 100 pelajar dengan pelbagai aktiviti dilakukan dari semasa ke semasa antaranya, merekacipta setem sendiri, menyertai pelbagai pertandingan berkaitan setem dan poskad serta lawatan ke destinasi berkaitan.

Malah, katanya, kelab berkenaan juga pernah memenangi beberapa pertandingan peringkat kebangsaan kategori sekolah dan menyasarkan untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai sebelum ini.