Kapten Budi dijulang sebagai ‘hero’ kerana bela ratusan anak terbiar

Kapten-Budi-SoehardiKehidupan Kapten Budi Soehardi sebagai seorang juruterbang jauh berbeza dengan mana-mana individu lain.

Ikutkan, beliau boleh memilih untuk hidup mewah bersama-sama keluarga tersayangnya di Singapura. Namun, bekas juruterbang Singapore Airlines memilih mendedikasikan hidupnya demi kanak-kanak terbiar di Timur Timor selepas menonton satu dokumentari yang mencairkan hatinya pada 1999.

Pada 2000, Budi dan isterinya, Rosalinda Panagia Maria Lakusa atau Peggy mengambil keputusan besar iaitu berhijrah ke Timor Timur, mengambil kanak-kanak terbiar di situ sebagai anak angkat, menyediakan mereka pendidikan, tempat tinggal, kemahiran hidup dan makanan bernutrisi yang sempurna.

Sewaktu masih berkhidmat dengan syarikat penerbangan, Budi memperuntukkan sebahagian besar gajinya untuk kanak-kanak itu di pusat asuhan, “Roslin” sehinggalah dia bersara pada 2015.

Kanak-kanak yang berusia dari 6 hingga 24 tahun itu terus menjadi anak kepada pasangan Budi-Peggy.

“Dokumentari ini menunjukkan sisi gelap kehidupan pelarian. Mereka tinggal di rumah kadbod dan berdepan masalah kekurangan makanan yang serius,” kongsi Budi kepada JawaPos.com.

Selepas Budi bersara, isu kewangan sentiasa menjadi cabaran, namun mujur beliau dibantu rakan-rakan yang sedia menderma dan memberi sokongan.

Tetapi Budi berdepan dengan cabaran yang lebih besar.

“Kami berpindah ke Kupang. Rupanya tanah di kawasan tersebut tidak sesuai untuk pertanian,” katanya mengenang kisah lama.

Enggan berputus asa, bekas juruterbang ini terus mengusahakan pelbagai kaedah sehinggalah berjaya menanam pelbagai tanaman di atas tanah yang sama.

Bercucuk tanam menjadi satu kemahiran hidup yang wajib dipelajari “anak-anak” Budi selain pendidikan terbaik.

Beliau mentransformasi satu hektar tanah kepada kebun yang mampu menanggung 3 kali makan untuk 150 kanak-kanak di pusat jagaanya.

“Saya cuba memberikan mereka nutrisi makanan yang terbaik,” katanya dalam satu temuramah dengan Suara.com pula.

Tidak cukup dengan itu, pada tahun lalu Budi mengusahakan 53 hektar tanah untuk menjadikannya sebuah perkampungan organik, menampung lebih 1,000 kanak-kanak.

Mereka akan disekolahkan dengan baik dan selepas tamat persekolahan, mereka akan menyumbang kepada perkembangan perkampungan organik ini dengan pengetahuan mereka.

“Kami berusaha demi survival kami. Kami mahu ubah pandangan awam mengenai kanak-kanak yatim piatu dan terbiar. Dengan adanya sistem pendidikan yang betul dan kemahiran hidup, kanak-kanak terbiar ini juga mampu mengubah dunia. Kami sudahpun mendidik kanak-kanak sehingga menjadi doktor dan jurutera,” katanya.

Demi menghargai usaha kemanusiaan Budi, beliau pernah dianugerahkan dengan ‘The Real Heroes’ oleh CNN pada 2009. Beliau adalah satu-satunya warga Indonesia yang menerima anugerah berprestij itu.

Kredit: daenkmar channel