Selepas swafoto Najib-Rajnikanth, sekuel Kabali dijangka bermula di Malaysia

kabali21fmt-ohsem-inside-article1Nampaknya kita dah dapat jawapan dari swafoto Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak bersama pelakon “Superstar” Tamil Rajinikanth pada 31 Mac lepas.

Menurut laporan Bernama, kini ada ura-ura sekuel filem Kabali akan kembali di layar perak tidak lama lagi.

Nampak tak?

Kabali merupakan filem berbahasa Tamil yang memaparkan kisah kehidupan sebenar kumpulan penjenayah (Don) di Malaysia dan versi bahasa Melayu filem itu turut ditayangkan di Malaysia tahun lepas.

Filem ke-159 lakonan ‘Superstar’ itu menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Carey, Banting serta Bangkok dan Hong Kong.

Filem mob gengster arahan P Ranjith yang ditayangkan di pawangan seluruh dunia mencatatkan kutipan lebih RM388 juta.

Hubungan filem itu dengan Malaysia, selain lokasi penggambaran, ia berkaitan jalan ceritanya yang menyentuh aspek tempatan.

Filem ini juga dibintangi pelakon tempatan terkenal seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan dan Tony Kassim.

Tak tahulah jika pelawaan Najib itu yang benar-benar berhasil atau ia sekadar harapan, tetapi penerbit bersama filem Kabali Datuk Abdul Malik Dashtigeer dalam satu temuramah dengan Bernama berkata pihaknya bersedia bekerjasama untuk menjalankan penggambaran sekuel filem Kabali itu di Malaysia seperti yang diidamkan ramai peminat Rajinikanth.

Malah, skrip sekuel filem itu kini dalam perbincangan dan berkemungkinan penggambaran filem itu akan dimulakan tahun ini.

“Kita sentiasa bersedia bekerjasama dengan pengarah Ranjith, termasuk menyediakan semua kemudahan untuk penggambaran sekuel filem Kabali,” katanya.

Mengulas lanjut langkah kerajaan membuka pintu kepada industri perfileman India menjadikan Malaysia antara lokasi pembikinan filem dan siri drama televisyen, Abdul Malik berkata ia akan menggalakkan banyak penerbit dari negara itu membuat penggambaran di negara ini.

Najib semasa melawat Chennai, bandar raya di selatan India, turut mengumumkan Malaysia bersedia menawarkan insentif kepada penggiat industri hiburan India.

Abdul Malik, yang juga merupakan penerbit dan pengeluar beberapa filem Tamil, berkata setakat ini terdapat 4 filem Tamil dari India akan menjalani sesi penggambaran di Malaysia pada tahun ini.