‘Space Out’ – pertandingan untuk sesiapa yang boleh duduk diam tanpa telefon pintar

no-smart-phonefmt-ohsem-inside-article1Duduk diam-diam, jangan sentuh telefon pintar, jangan berbual, jangan ketawa, jangan tidur, jangan makan….

Lebih lama anda dapat bertahan, dengan kadar dengupan jantung dan tekanan yang stabil, anda diangkat sebagai pemenang.

Demikian pertandingan yang diadakan di Seoul, Korea Selatan untuk menilai kemampuan pesertanya menikmati “tempoh rehat”.

Seramai 60 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan yang dinamakan “Space Out”.

Terdahulu, 1,500 orang dikatakan menghantar permohonan menyertai pertandingan yang berdurasi 90 minit itu.

Menurut satu rakaman video oleh krew AJ+, “Space Out” diperkenalkan pada 2014 oleh seorang artis bernama Woops Yang untuk mempromosi kehidupan tanpa stress dan berdepan dengan masalah keterlampauan informasi.

“Setiap 15 minit, nadi peserta akan diperiksa untuk menilai tekanan mereka. Mereka yang mempunyai bacaan nadi yang paling stabil akan diangkat sebagai juara,” petik rakaman itu.

Kin Dong Ju berkata dia yang sukar mencari masa berehat melihat “Space Out” ini sebagai satu peluang untuknya berehat.

“Saya tak tahu bagaimana rasanya berehat dan melalui kehidupan tanpa tekanan,” katanya.

Manakala bagi pemenang pertandingan itu, Shin Hyo Sub, seorang “rapper” tempatan pula berpendapat ia satu pertandingan yang baik dan mengesyorkannya kepada mereka yang berdepan dengan masalah minda dan fikiran yang kusut.

“Saya memang suka ‘Space Out’,” katanya.

Lebih 80% rakyat Korea Selatan memiliki telefon pintar dan purata kadar pengunaannya ialah 4 jam sehari dengan 15% daripada pengguna dikatakan sudahpun ketagih.