Pencuri telefon larikan diri ke balai polis

 

policeCubaan seorang pencuri meloloskan diri selepas merampas telefon bimbit seorang wanita gagal – terima kasih kepada kebodohannya sendiri.

Rakaman kamera litar tertutup pada 31 Mac lalu menunjukkan seorang lelaki merampas telefon bimbit seorang wanita yang berdiri di sebuah persimpangan jalan berlampu isyarat di Shenzhen dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Menurut laporan portal Shangaiist.com, pencuri itu kemudiannya berlari menyeberangi jalan dan memasuki kompaun sebuah bangunan.

Namun, dia tiba-tiba memperlahankan pergerakan dan berhenti selepas menyedari dirinya berada di dalam kawasan balai polis.

Mangsa yang jatuh tersungkur di tengah jalan raya, sempat bangkit dan mengejar pencuri itu sehingga ke dalam balai polis.

Wanita itu segera mendapatkan bantuan anggota polis di pintu masuk dan menahan pencuri terbabit.

Seluruh proses mencuri dan pencuri itu ditahan polis tidak sampai 10 saat.