Awasi ‘scam’ pinjaman peribadi bank

call-scamfmt-ohsem-inside-article1Semalam, seorang rakan Facebook berkongsi mesej mengenai pengalamannya hampir menjadi mangsa scam panggilan telefon kononnya dari sebuah bank, minta melangsaikan tunggakan hutang pinjaman peribadi.

Kawan yang hanya mahu dikenali Weween menulis, “Seseorang dari ‘Maybank’ baru menghubungi saya dan berkata saya ada tunggakan bayaran ansuran RM2,025 untuk 3 bulan bagi pinjaman peribadi berjumlah RM30,000 yang saya buat di Maybank cawangan Pulau Pinang pada 5 Disember 2016.

“Saya tak pernah buat, jadi saya sedar ia adalah ‘scam’ (menipu). Agak menakutkan juga kerana mereka tahu maklumat saya, nombor kad pengenalan, akaun dan sebagainya.

“Duit masih selamat dalam akaun. Ia panggilan telefon automatik, bunyinya sangat asli. Nombornya, 03-2059 1888 – Tolong jangan jawab.”

Demikian tulisnya sambil mengingatkan dirinya supaya tidak lagi menjawab panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

Anehnya, rakan-rakannya juga berkongsi menerima panggilan dari bank yang sama, malah menggunakan skrip yang sama untuk memancing mangsa.

Ini jelas menunjukkan, musim ‘scam’ pinjaman peribadi bermula dan FMT Ohsem minta pembaca berhati-hati jika berdepan dengan situasi sama.

Entah berapa orang yang bakal menjadi mangsa…

Persoalannya, bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku sehingga maklumat peribadi kita berada dalam tangan mereka yang dipercayai sebagai ‘scammer’?

Timbalan Pengarah JSJK (Siber dan Siasatan Multimedia), Senior Asisten Komisioner Datuk Kamaruddin Md Din dalam satu laporan media baru-baru ini mengakui kewujudan rangkaian sindiket itu.

Menurutnya, sindiket itu menghubungi telefon mangsa secara rambang sebelum memulakan perbualan dengan mendakwa nama mangsa digunakan individu tertentu untuk melakukan pinjaman peribadi.

Beberapa tahun dahulu, suami saya juga hampir menjadi mangsa ‘scam’ selepas menerima pesanan ringkas menyatakan kad kreditnya digunakan membuat pembelian berupa barangan emas Poh Kong di cawangan KLIA.

Di sebabkan panik dan gentar, suami saya buat langkah kiri dengan menghubungi nombor yang tertera dalam mesej, kononnya nombor Bank Negara Malaysia (BNM).

Mujur dia tidak memberikan apa-apa maklumat lanjut selepas saya sedar ia mungkin ‘scam’, kami terus menghubungi bank dan minta kad tersebut di ‘block’ selain memeriksa baki dalam akaun bank.

“Nasib baiklah saya tiada duit dalam bank itu,” kata suami menarik nafas lega.

Sejak itu kami saling mengingatkan supaya tidak melayan jika ada mesej atau panggilan yang was-was.

Cuma rasa pelik apabila ‘scammer’ masih boleh beroperasi aktif menggunakan pelbagai modus operandi dan rata-rata menggunakan operator komunikasi tetapi gagal dikesan dan dibanteras.

Sekarang semuanya di tangan pengguna, kita yang harus lebih berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa.