Sekolah Terengganu guna ‘punch card’ untuk disiplinkan murid

terengganu-punchcardfmt-ohsem-inside-article1Kini, tiada lagi murid di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Terengganu yang boleh menipu guru jika mereka lewat atau ponteng sekolah.

Ini kerana waktu keluar masuk akan direkodkan alat perakam waktu yang lebih dikenali sebagai “punch card” di sekolah yang terletak di Kuala Nerus itu.

Amalan julung kali dipraktikkan sekolah di Terengganu itu bertujuan memupuk disiplin dan mengatasi masalah ponteng dalam kalangan murid.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zamzaini Zolkeffi yang dipetik Bernama berkata, sistem mesin perakam waktu itu merupakan inisiatif gabungan PIBG dan pihak sekolah.

Beliau berkata, sistem itu akan menjadi petunjuk prestasi murid sekolah dan pada masa sama melatih murid-murid lebih berdisiplin serta menepati masa ke sekolah.

“Kita ada menerima rungutan daripada pihak sekolah berhubung kelewatan murid-murid ke sekolah, jadi bagi mengelakkan perkara ini berterusan dan menjadi bebanan kepada pihak sekolah, kita mengambil langkah awal seperti ini.

“Kos sebanyak RM6,000 untuk melaksanakan sistem yang lebih efektif ini digunakan untuk pelajar tahun 1 hingga 6,” katanya selepas Majlis Perasmian Penggunaan Mesin Perakam Waktu sekolah itu yang disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Shafruddin Ali yang menyambut baik penggunaan sistem itu berkata, langkah itu sangat efisien dalam melatih murid menguruskan masa ke sekolah seperti dipraktikkan di negara maju.

“Mungkin sekolah lain dapat mengikut contoh seperti ini dengan persetujuan pihak PIBG sekolah masing-masing,” katanya.

Sementara itu guru besar sekolah itu, Zam Zam Mohamad berkata, pihak sekolah menyasarkan kelewatan murid ke sekolah dapat dikurangkan daripada 10% kepada 3% selepas sistem itu diperkenalkan.

Katanya, walaupun masalah kelewatan murid ke sekolah tidak serius, namun langkah awal membendung masalah kelewatan mereka ke sekolah perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan mereka dapat mengikuti aktiviti dijalankan pihak sekolah untuk mereka.

“Sesi persekolahan bermula 7.45 pagi sehingga 1.15 petang, namun pada 7.30 pagi, murid-murid perlu berada di sekolah untuk program bacaan yasin yang diadakan setiap pagi.

“Rekod kehadiran mereka kita akan bandingan setiap bulan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi murid untuk mencapai waktu kehadiran ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, sekolah berkenaan mempunyai 871 murid termasuk prasekolah dan 61 guru.