Pendaki tertua Malaysia sampai di kem Induk Everest

James-Lee-Chong-MengJames Lee Chong Meng, warga Malaysia tertua yang cuba menawan puncak Gunung Everest, tiba di kem Induk Everest (EBC), petang tadi.

Pendaki berusia 69 tahun itu berkata beliau dan anggota pasukannya tiba di EBC yang berada pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut itu, kira-kira 3 petang hari ini (waktu tempatan Nepal).

“Cuaca di sini amat baik dan kami berpeluang bergambar di sekitar EBC sebelum 5 pendaki yang bersama saya akan turun ke Periche esok pagi selepas sarapan.

“Saya akan kekal berada di EBC bagi meneruskan latihan di Lobuche East,” katanya dalam rakaman audio yang dihantar ke Bernama, rakan media pendaki tertua negara yang dalam misi sampai ke puncak tertinggi dunia itu.

Lee berkata 2 pendaki, Eugene Kwan Jyh Sin, 47, dan Teng Hee Weng, 48, yang mengalami penyakit gunung akut (AMS) sebelum ini disahkan telah pulih.

AMS adalah kesan patologi ketinggian terhadap manusia yang berpunca daripada pendedahan akut kepada tekanan rendah oksigen di kawasan tinggi.

“Mereka telah pulih, bagaimanapun, pemeriksaan kesihatan secara berkala tetap dilakukan bagi memastikan tahap kesihatan kami sentiasa cergas.

“Saya pula dapat mengatasi perasaan dan kehadiran ‘udara sejuk’ yang membuat dada saya tidak selesa hasil daripada nasihat sherpa profesional berhubung pemakanan saya,” katanya.

Lee dan pasukannya sampai ke Kathmandu pada 1 April lepas. Lima pendaki yang bersamanya adalah Eugene, Chong Nyuk Kooi, 49, Teng Hee Weng, 48, serta Berdych Tan Teck Chai dan Jack Oh Jin yang masing-masing berusia 32
tahun.

Mereka akan menemani Lee sehingga ke Everest Base Camp sebelum Lee menyambung perjalanannya ke puncak gunung itu dalam ekspedisi yang dianjurkan Lions Club of Port Dickson Pantai.

Pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan peringkat akhir pendakiannya ke puncak Gunung Everest apabila sampai ke Kem III pada ketinggian 7,200m kerana cuaca buruk. Ketinggian Gunung Everest ialah 8,848m.