Rumah terbuka Vaisakhi, acara unik hanya di Malaysia

Hari-Vaisakhifmt-ohsem-inside-article1

Arvinder Kaur Nahal, 36 sibuk membuat perancangan sambutan Hari Vaisakhi hari ini, 14 April 2017.

“Perancangan saya seperti mana-mana sambutan perayaan yang lain, bersihkan rumah dan bersembahyang. Oleh kerana Vaisakhi adalah perayaan keagamaan, ia disambut 3 hari dan rata-rata masa akan dihabiskan di pusat beribadat, Gurdwara,” katanya yang sedang bersiap sedia ke Gurdwara Petaling Jaya.

Menurutnya, Vaisakhi adalah sambutan keagamaan selama 3 hari, bermula dengan upacara sembahyang “Akhand-path”. Sepanjang 3 hari itu, penganut Sikh akan ke Gurdwara membaca ayat suci daripada 1430 muka surat dari buku “Guru Granth Sahib” tanpa henti.

“Ia akan mengambil masa 48 jam menyempurnakannya. Penganut akan mengambil giliran membacanya. Segelintir lagi akan menyediakan makan minum sepanjang upacara selain mengendalikan pelbagai acara lain berkaitan dengan Vaisakhi.

Pada pagi Vaisakhi, penganut Sikh berpakaian baharu mengunjungi Gurdwara, menyertai upacara sembahyang hari terakhir. Selepas upacara sembahyang tamat, mereka akan ditawarkan makan tengah hari nabati untuk di jamah bersama-sama penganut lain.p

“Kalau ada masa, kami akan mengatur perjumpaan sesama ahli keluarga dan kenalan di rumah. Itupun kecil-kecilan saja. Ini kerana Vaisakhi adalah festival keagamaan jadi lebih banyak masa diluangkan di Gurdwara,” kata Arvinder.

Itu rutin Vaisakhi bagi Arvinder, namun wanita ini akui sambutan perayaan sudah jauh berbeza sekarang apabila diberi pengiktirafan oleh kerajaan selain diangkat sebagai acara kebangsaan.

“Ia sangat berbeza berbanding zaman ibu bapa saya dahulu. Kini komuniti minoriti Sikh diberi keutamaan menyambut perayaan ini dengan cuti perayaan khas bagi penjawat awam beragama Sikh. Kesedaran mengenai perayaan ini juga diuar-uarkan sama ada dalam media masa, iklan, media sosial dan dokumentari. Ini menyebabkan komuniti bukan Sikh juga menyedari dan menghormati festival ini.

“Sekarang kita ada rumah terbuka Vaisakhi anjuran kerajaan negeri dan persekutuan. Ini sesuatu yang baru, tak pernah saya dengar zaman ibu bapa dulu,” jelasnya.

Hari-Vaisakhi1

Menurut Penolong Setiausaha Gurdwara Kajang, Bulbir Sigh, 75, penyediaan makanan adalah elemen penting dalam ritual keagamaan masyarakat Sikh dan sebahagian daripada khidmat masyarakat atau dikenali ‘Seva’.

Tambah beliau, sesi makan di “langar” atau dapur, tempat menghidang dan memberi makanan percuma kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan dan latar belakang.

‘Langar’ disediakan di setiap Gurdwara dan di Malaysia terdapat 135 buah Gurdwara. “Kami hanya menyediakan makanan nabati. Pengunjung hanya perlu datang berpakaian sopan dan mereka boleh bersama-sama menikmati makanan di sini,” jelas Bulbir.

Vasakhi merupakan satu perayaan utama kaum Sikh yang jatuh pada tanggal 14 April setiap tahun menandakan permulaan musim menuai mengikut kalender masyarakat Punjabi Sikh.

Seperti kata Arvinder, penjawat awam di kalangan masyarakat Punjabi-Sikh dibenarkan mengambil cuti tanpa rekod bagi menghormati sambutan perayaan ini.

Perayaan ini menggabungkan unsur keagamaan dan kebudayaan, dan sekali gus disambut bagi meraikan kelahiran Khalsa Panth oleh Guru Gobind Singh yang wujud semenjak tahun 1699.

Masyarakat Sikh berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1870-an melalui proses migrasi dan bermastautin di Malaysia lebih kurang 150 tahun.