Kisah lesbian, penderaan seks dan masalah keluarga digarap dalam ‘Kamar Seksa’

Kamar-Seksa“Kamar Seksa” tidak mahu terus ditinggalkan tepi di dalam bilik stor simpanan barangan lama dan lusuh.

Filem yang diabaikan kira-kira 3 tahun lalu atas sebab tertentu, menjalani beberapa sesi pembaharuan dari segi teknikal dan kini sedia menemui penonton pada 20 April ini yang akan ditayangkan di lebih 20 pawagam.

“Saya fikir filem ini mesti ditayangkan kerana subjeknya yang segar dan baharu selain penggambarannya sudah dibuat. Mungkin subjek ini menimbulkan kontroversi tetapi menepati kehendak penonton masa kini,” demikian kata penerbit dan pengarah filem Kamar Seksa, M Suurya.

Bagi Suurya bukan mudah menyunting semula sebuah filem yang ditinggalkan begitu lama dan mahu disesuaikan dengan kehendak penonton tetapi beliau tetap melakukannya kerana yakin terhadap filem ini.

Menurut Suurya, filem ini terbahagi kepada 2 kisah yang berlainan hala tuju tetapi titik kesinambungannya adalah bagaimana para penonton mentafsirkannya.

Kisah pertama mengenai watak Katty lakonan Shazzy Falak, seorang lesbian dengan pasangannya lakonan, Ieda Moin.

Suurya berkata kisah pertama cuba membawa elemen hubungan luar tabii yang lazimnya enggan diceritakan kepada umum, tetapi dalam Kamar Seksa ia dibawa secara halus dan sopan tanpa membelakangkan elemen asli.

“Kami cuba sedaya upaya agar penonton boleh dalami kedua-dua watak lesbian tetapi terikat dengan tapisan dan sensitiviti masyarakat. Saya tak pasti bagaimana penerimaan penonton, namun saya pasti garapan Sazzy dan Ieda akan memberi satu pengalaman tontonan yang baru,” kata Suurya yang ditemui baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, kisah ini turut menyelitkan unsur cemburu dan keganasan seksual menerusi penglibatan watak Mona, seorang pembantu rumah dari Medan lakonan Ayuni Hashim yang juga menjadi sebahagian jalan cerita pertama itu.

Bagi kisah ke-2 pula, jalan ceritanya lebih bersifat konservatif di mana si isteri, watak Nur lakonan Noorkhiriah yang tersepit dengan si suami yang tidak bertanggungjawab, suka mencuri, hilang pekerjaan dan akhirnya beban keluarga di letakkan di atas bahu Nur.

“Ia mengisahkan kehidupan seorang wanita, isteri dan ibu kepada seorang anak apabila berdepan dengan situasi sukar kerana sikap suaminya.

“Kisah ini mungkin ‘klishe’ tetapi krew saya cuba menunjukkannya daripada sudut berbeza,” tambah Suurya lagi.

Kedua-dua kisah dalam Kamar Seksa menceritakan elemen “peribadi” yang berlaku dalam hidup seseorang, secara rahsia atau terselindung.

“Ia berlaku dalam ruang mereka sendiri dan bagaimana kedua-dua watak, si pembantu rumah serta si isteri keluar dari keseksaan ini menjadi intipati Kamar Seksa,” jelasnya.

Ditanya jika filem ini berdepan cabaran seperti daripada pihak penapisan atau badan perfileman, Suurya angguk menandakan “ya”.

“Watak lesbian pastinya akan menjadi isu tidak kira dalam hal penapisan, bahan kritikan atau isu dalam kalangan penonton kelak. Saya diarah supaya mengurangkan elemen ‘berahi’ supaya ia tidak terlalu menonjol (walaupun diperlukan dalam menghidupkan watak).

“Saya diberi pilihan untuk memadam beberapa adegan jika mahu dikategori untuk tontonan umum. Oleh kerana saya tidak mahu hilang keaslian cerita dan elemen penting, saya memilih untuk ‘mute’ beberapa dialog selain terpaksa memotong satu atau dua ‘scene’,” katanya.