Jadi penyibuk pun ada baiknya

160518-handbed-stockfmt-ohsem-inside-article1Sehari sebelum bermulanya cuti sekolah Mac lepas, seorang rakan penulis mengeluh panjang. Beliau baru menerima panggilan daripada ketua penduduk sebuah rumah pangsa di Wangsa Maju mengenai unit miliknya yang disewakan kepada beberapa wanita.

Sudah bertahun-tahun lamanya dia menyewakannya rumahnya tanpa sebarang masalah.

Hari itu, polis terpaksa memecah pintu depan rumah rakan saya selepas salah seorang penyewa rumah gagal dihubungi selama 4 hari, sedangkan lampu rumah terpasang dan kereta wanita itu ada di tempat letak kereta.

“Penyewa itu sebenarnya terlantar di katilnya dalam keadaan nazak dan kemudian dibawa ke HKL (Hospital Kuala Lumpur),” Liza memberitahu penulis.

Penulis tertanya-tanya sendiri di mana rakan penyewa yang lain kerana ada 3 lagi orang penyewa. “Kalau duduk satu rumah takkan tak tahu apa yang berlaku dalam rumah,” bisik hari penulis.

Menurut rakan penulis, 2 penyewa yang lain hanya menjadikan bilik di unit tingkat 3 itu sebagai persinggahan hari minggu, seorang lagi kerap tinggal di rumah keluarganya di pinggir kota dan sejak kebelakangan ini agak sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinannya.

Pada hari kejadian, ketiga-tiga wanita itu tidak ada di rumah justeru tidak balik untuk membuka pintu menyebabkan polis terpaksa memecahkan pintu tersebut.

“Dah meninggal (selepas beberapa hari dirawat di HKL). Kata doktor, dia ada penyakit asma, masalah buah pinggang. Kedua-dua buah pinggangnya sudah rosak.

“Mungkin ia saling berkait,” cerita rakan penulis ketika ditanya keadaan penyewa yang malang itu.

Rakan penulis agak sedih dengan kematian wanita itu dan bertambah kecewa dengan sikap penyewa yang lain.

Katanya, seorang penyewa berada di rumah itu beberapa hari sebelum kejadian untuk mengambil barang. Dia nampak wanita itu terbaring di katil tetapi tidak terlintas untuk menjenguk dan bertanya khabar.

“Dua hari dia singgah sekejap rumah ambil barang. Dia nampak arwah terbaring dalam keadaan yang sama, pakaian yang sama.

“Tetapi, dia ambil barang dan terus pergi. Sepatutnya jenguklah sekejap kerana pintu bilik terbuka,” keluh rakan penulis.

Sebagai rakan serumah, kalau tidak rapat sekali pun pastinya kita akan bertegur sapa antara satu sama lain.

“Memanglah mereka duduk satu rumah. Tetapi, hubungan agak renggang tetapi janganlah sampai sudah tidak ada sifat prihatin,” ujar rakan penulis.

Tidak dinafikan, isu ‘tidak mesra’ sudah kerap kali kita dengar dan kebiasaannya membabitkan hubungan antara jiran. Malah, ada juga yang tidak kenal langsung jiran mereka.

Ini bukanlah situasi asing bahkan kerap kali berlaku di kalangan orang bujang yang tinggal menyewa di rumah teres atau apa juga bentuk kediaman. Wanita atau lelaki, kebanyakannya sudah janggal membudayakan kehidupan harmoni bertujangkan kemuafakatan dan kesefahaman.

Akan tetapi, kisah yang dikongsi rakan penulis ini amat menyedihkan kerana ia berlaku dalam rumah itu sendiri. Bukankah sepatutnya rakan penyewa lain boleh dianggap sebagai keluarga kecil kita?

Tambahan pula, kebanyakan orang bujang tinggal menyewa jauh daripada keluarga. Ada yang emak dan ayah atau saudara tinggal nun jauh di Kelantan malah ada yang merantau dari Sabah dan Sarawak.

Makanya, orang yang paling dekat dengan kita adalah rakan serumah kerana merekalah terlebih dahulu yang akan mengetahui jika sesuatu berlaku ke atas diri kita, sekali gus dapat membantu ketika kecemasan atau memerlukan pertolongan.

Penulis juga mempunyai seorang rakan yang disahkan doktor menghidap sakit belakang kronik dan beliau turut mencari rumah yang ada penyewa lain memandangkan keadaan dirinya agak bahaya untuk tinggal seorang diri.

Kalau ada apa-apa berlaku, bolehlah kawan serumah membawanya ke hospital.

Namun, susahlah jika rakan serumah pun tidak bertegur sapa dan dengan jiran pun tidak ambil kisah. Ditambah lagi jika ada pula yang bersikap tidak peduli dan mementingkan diri.

Jadi, mungkin ada baiknya kalau setiap daripada kita ada sedikit sifat ‘kaki sibuk’ atau ‘jaga tepi kain orang’ tetapi dalam konteks positif untuk menjaga hubungan antara satu sama lain.

Lazimnya amalan suka jaga tepi kain orang kerap dipandang serong oleh masyarakat. Tetapi amalan itu sebenarnya turut mempunyai sisi positif yang boleh membawa kebaikan bersama untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita.

Kepekaan terhadap keadaan sekeliling boleh menjadi pendekatan terbaik bagi menangani kegiatan jenayah seperti kes penderaan, kecurian, kebakaran termasuklah membantu rakan rumah atau jiran yang berada dalam kecemasan.

Malah sikap ini yang dikatakan mengambil berat dan bagi saya agama Islam mahupun mana-mana agama sekali pun pastinya amat memberi penekanan kepada hubungan baik sesama jiran tetangga.

Sifat ‘kaki sibuk’ yang positif pastinya boleh mewujudkan hubungan erat dan mesra serta menjamin kepentingan bersama.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis, Sakini Mohd Said dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA).