Anda mungkin bercerai jika anak sulung anda perempuan

divorcefmt-ohsem-inside-article1Terkejut dibuatnya apabila penemuan kajian terbaharu menyatakan pasangan yang melahirkan anak perempuan sebagai anak pertama cenderung untuk bercerai.

Manakan tidak, saya sendiri anak perempuan pertama dan dikurniakan anak perempuan sulung.

Menurut kajian itu, pasangan mempunyai lebih ramai anak lelaki hidup kekal bersama, manakala mereka mempunyai lebih ramai anak perempuan akan mengucap “selamat tinggal” pada pasangannya.

Sebentar, penemuan ini ada asas psikologinya.

Pakar ekonomi dari University of California San Diego, Gordon Dahl dan Enrico Moretti dari UC Berkeley berkata, pasangan mempunyai anak perempuan pertama cenderung 5% lebih tinggi untuk bercerai.

Jika mereka mempunyai 3 anak perempuan atau lebih, kemungkinan itu meningkat 10%.

Keputusan itu menurut data kajian daripada lebih 3 juta dewasa di Amerika Syarikat.

Namun, ada beberapa sebab mengapa pengkaji tampil dengan penilaian tersebut.

Pertama, ada sebab mengapa ibu bapa mempunyai anak lelaki kena hidup bersama. Sama ada untuk mengelak anak lelaki membesar tanpa pengawasan seorang bapa atau mengelak daripada si ibu atau bapa tunggal berdepan situasi lebih menggerunkan dalam membesarkan anak lelaki.

Satu lagi kemungkinan adalah anak perempuan menjadi motivasi kepada ibu meninggalkan hubungan yang “parah” kerana anak perempuan mampu memberi sokongan sosial kepada ibu untuk berbuat demikian.

“Satu perkara yang dapat kami putuskan, wanita tidak mahu anak perempuan mereka membesar dalam situasi di mana si ibu dikawal atau didera si bapa. Mereka takut menjadi ‘contoh’ yang salah kepada anak perempuan, justeru mereka meninggalkan hubungan itu,” kata pakar psikologi klinikal di Denver dan penulis buku “Power of Two”, Susan Heitler kepada AFP.

Dalam satu lagi perspektif “pro-anak lelaki”, pengkaji mendapati anak lelaki menjadikan “bercerai” menjadi kurang menarik kepada ibu bapa.

Menyokong idea ini, Dahl dan Moretti menjelaskan anak lelaki mempunyai kemampuan memaksa si bapa lebih bertanggungjawab terhadap ibu dan keluarganya.

Memiliki anak lelaki juga menjadi penyebab kepada si bapa terus terikat dan tidak mahu anak lelakinya itu membesar tanpa “contoh yang betul”.

Fokus kajian itu dibuat daripada perspektif wanita kerana lebih 73% perceraian di Amerika Syarikat difailkan wanita, bukannya lelaki.

“Berdasarkan pertanyaan kenapa mereka berpisah, kita kena tanya adakah faktor anak perempuan yang mendorong si ibu berbuat demikian,” kata Kelly.

Kajian juga menunjukkan anak perempuan dewasa mengurangkan beban domestik yang lazimnya ditanggung si ibu manakala sebaliknya dengan anak lelaki. Ini menjelaskan sokongan daripada anak perempuan menjadikan si ibu lebih selesa dan yakin untuk meninggalkan perkahwinan yang memberi kesan negatif kepada kehidupan mereka.

Heitler mengakui fakta itu, sokongan daripada anak perempuan kepada ibu lebih ketara berbanding anak lelaki.

“Dalam masa yang sama juga, ibu kepada anak perempuan yang bercerai jarang dilihat berkahwin semula, semuanya kerana mereka sudah pun mempunyai sokongan daripada anak perempuan,” katanya.

“Selain itu, si ibu juga mahu mengurangkan risiko membawa seorang lagi (bapa baru) dalam hubungan mereka dengan meletakkan kehidupan mereka sekali lagi dalam dilema,” kata Kelly.

“Si ibu juga tidak mahu mengajar anak perempuannya terus terikat dalam hubungan yang salah dan tidak menggembirakan,” kata Heitler.

“Si ibu ingin menjadi contoh terbaik kepada anak perempuannya. Dia tidak mahu mengajar anaknya mengenai kehidupan yang salah atau menjadi isteri kepada lelaki yang tidak layak, perceraian itu tanda kebebasan yang patut ditunjuk ajar,” tambahnya.

Jadi adakah anak perempuan menyebabkan perceraian? Manakala anak lelaki menjadi pengikat perkahwinan?

Malangnya, tiada jawapan untuk soalan di atas.

Kajian Moretti dan Dahl bagaimanapun tidak memberi jawapan yang kukuh bagi soalan itu tetapi bagi Kelly ia mungkin menjadi satu lapangan kajian yang menarik jika diteroka lebih mendalam.