Saya benci tengok Facebook bila …

social-media

fmt-ohsem-inside-article1Percaya atau tidak, Malaysia adalah salah sebuah negara yang rakyatnya paling aktif terlibat dalam media sosial.

Menurut statistik, terdapat lebih 18 juta pengguna media sosial yang aktif di Malaysia setakat 2015, dan sebanyak 77.3% isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

Facebook, Whatsapp, Youtube, Linkedin, Instagram dan Twitter merupakan antara media sosial yang paling popular dengan penggunaan yang banyak.

Kitakan suka simpan 2, 3 atau lebih akaun untuk satu media sosial, jadi tak terkejutlah jika suatu hari nanti jumlah akaun media sosial melebihi jumlah penduduk.

Simpanlah sebanyak mana akaun yang anda mahu, wujudkanlah beratus-ratus akaun Facebook semata-mata untuk ikuti “halaman” anda sendiri, tak kisahpun…

Tetapi janganlah sampai posting, perkongsian, komen mahupun status anda itu menjengkelkan pengguna lain.

Kalau anda masih tidak sedar apa yang sebenarnya membuatkan rakan media sosial anda berasa kurang selesa, FMT Ohsem senaraikan 7 tabiat “utama” media sosial yang paling buat orang benci.

  1. Suka tag orang lain walaupun tak kena-mengena
    Buka sahaja Facebook pada waktu pagi, terpampang wajah anda dalam pelbagai sudut. 10 keping gambar anda mendongak, menyisi, minum kopi, tunjuk “peace”, semuanya wajah anda, tetapi tag nama saya. Penuhlah Facebook saya dengan wajah anda setiap pagi, ingat saya suka ke? Simpan foto anda di akaun sendiri, kalau orang suka, mereka akan “like”, tak perlu paksa dengan “tag” nama orang lain.
  2. Minta “like” gambar foto untuk pertandingan
    Satu lagi tabiat pengguna media sosial yang dikatakan agak menjengkelkan apabila “memaksa” kita “like” gambar anak, cucu, sepupu, atuk, nenek, bapa, emak, saudara-mara sebab mereka masuk pertandingan. Mungkin kalau anak sendiri tu masih boleh diterima, tapi janganlah paksa setiap hari.
  3. Kongsi semua “sampah” yang mereka nampak
    Hampir segalanya yang mereka terima, nampak, baca dikongsi dalam laman sosial. Memanglah akaun itu kepunyaan anda tetapi fikirlah betul-betul sebelum berkongsi sebab tanpa disedari, lebih separuh daripada apa yang anda kongsi sebenarnya hanyalah “sampah internet”. Tak percaya, sila periksa balik.
  4. Tidak sensitif dengan gambar yang dikongsi
    Hello… hello… hello, apa punya cita rasa yang anda miliki dengan kongsi gambar orang kena kerat kepala, kena potong bahagian badan, tertanggal anggota badan dan sebagainya? Fikirlah secara rasional dengan menilai gambar mana yang patut dan tidak patut dikongsi. Kalau suka sangat, anda “save” dan simpan dalam telefon sendiri, lihat setiap hari. Tak perlu kongsi untuk kami.
  5. Perniagaan dalam talian tanpa harga memaksa kita hantar mesej peribadi.
    Saya tak nak cakap banyak, dah jadi macam trend. Tetapi apa salahnya jika semua maklumat dikongsi terus dalam “iklan” niaga itu dan mereka yang berminat berurusan secara peribadi. Tak payahlah komen “pm”
  6. Nama dan bahasa yang baharu, kami di sini tak fahamlah
    Generasi muda, khususnya remaja suka guna nama yang pelik sehingga sukar difahami atau dihadam. Nama samaran seperti Cwazi Pwincy (Crazy Princess), Owntage didepan atau belakang nama, sebenarnya agak menjengkelkan jugalah. Dahlah bahasa yang digunakan dalam berkongsi pendapat atau komen juga sukar difahami. Yang pasti, ia bukan bahasa Melayu atau Inggeris, jadi apa bahasa yang anda guna itu?
  7. Berkempen secara berlebihan untuk sesuatu pihak, parti politik, individu
    Media sosial adalah medium untuk berkomunikasi dan berhubungan. Ada yang gunakannya sebagai medium untuk memperjuang sesuatu pihak secara berlebihanhingga menjadikan laman sosial itu laman berperang. Get a life man!