Apa yang anda tahu mengenai Buddhisme?

budhismefmt-ohsem-inside-article1Sejak beberapa tahun yang lalu saya berpeluang menulis mengenai sambutan Hari Wesak. Banyak ilmu dan maklumat yang saya pelajari khususnya mengenai kepelbagaian ajaran Buddha itu sendiri.

Salah satu maklumat tersebut ialah perbezaan dalam kalangan penganut agama Buddha yang terbahagi kepada beberapa aliran iaitu Theravada yang berasal dari Sri Lanka, Vajrayana dari Tibet dan Mahayana dari China.

Jelas sekali perbezaan ini dipengaruhi sesebuah negara dan ia bukan sahaja dilihat dari segi ritual kerohanian malah seni bina pusat ibadatnya yang sama sekali berlainan sekali gus menampakkan pengaruh aliran secara jelas.

Di Malaysia juga ada penganut agama Buddha daripada ketiga-tiga aliran yang disebutkan. Sejarah menyatakan ajaran Buddha dibawa kepada penduduk gugusan kepulauan Melayu seawal 200 tahun Sebelum Masehi oleh pedagang India dan sami-sami yang menjelajah dunia menggunakan jalan laut.

Pada kurun kelima, Buddhisme berkembang dengan baik di Tanah Melayu, malah Kedah menjadi salah satu pusat perkembangan agama Buddha utama.

Ekskavasi arkeologi di Kuala Selinsing, Tanjung Rambutan, Lembah Kinta, Bidor dan Sungai Siput di Perak, selain di Perlis serta Pahang juga antara bukti yang masih dipelihara.

Banyak peninggalan kebudayaan Buddhisme di Kedah, Perlis dan Kelantan dikatakan akibat pengaruh Thailand dan ia diserap menerusi persembahan drama tari menora dan wayang kulit tempatan.

Bukan mudah sesuatu agama itu terus bertahan tetapi agama Buddha terus mempengaruhi sebilangan besar penduduk dunia termasuk Malaysia yang mempunyai sekitar 19% hingga 21% populasi yang mengikuti ajaran tersebut.

Dalam satu wawancara dengan Ketua Biara Jue Cheng dari Kuil Fo Guang Shan (FGS) Dong Zen di Jenjarom, Selangor beberapa tahun dahulu, perbezaan aliran dalam Buddhisme wujud kerana asimilasi iaitu penerapan kebudayaan asing dalam ritual penyembahannya.

“Sebagai kuil Buddha aliran Mahayana, kami tidak ketinggalan menyambut Tahun Baru Cina sebagai sebahagian daripada sambutan kuil,” katanya.

Kuil Fo Guang Shan (FGS) Dong Zen yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur itu adalah antara kuil Buddha terbesar di negara ini dengan taman miniatur Buddhisme yang cantik dan terpelihara.

“Anda boleh lihat unsur-unsur pembinaan dan kebudayaan China. Pegangan aliran itu yang bermula sejak Dinasti Han telah tersebar luas sepanjang pemerintahan Dinasti Tan,” kata Jue Cheng.

Kuil ini diasaskan oleh Master Ching Yuen dari Taiwan lebih 2 dekad lalu, mengekalkan elemen kebudayaan China namun ajaran agama Buddha itu dikekalkan tanpa mengira aliran.

Pusat Sakyamuni Dharma di Jalan Kelang Lama pula mengamalkan aliran Vajrayana, satu lagi cabang tradisi yang berasal dari Tibet.

Seorang pegawai yang ditemui di pusat itu berkata cara pujaan mereka lebih menumpu kepada mantera dan meditasi. “Ia agak mendalam, rumit dan pelbagai,” tambahnya.

Kuil Maha Vihara di Brickfields, Kuala Lumpur diiktiraf sebagai contoh paling jelas kuil aliran Theravada (Sri Lanka) dan muncul sebagai kuil Buddha utama di negara ini.

Selain Sri Lanka, aliran Theravada juga tersebar luas di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Thailand dan Myanmar.

Aliram Theravada yang berasal dari Sri Lanka dan India, ia berpegang kepada ajaran asas yang paling mudah difahami tetapi lebih bersifat konservatif.

Ketika ditanya secara mendalam mengenai aliran Theravada, salah seorang penaung Maha Vihara di Brickfields berkata ia lebih bertumpu kepada pemujaan Buddha, ajaran disampaikan menggunakan teknik yang paling mudah dan berpusat kepada moraliti atau dharma iaitu menurut Jalan Lapan Lapis Mulia ajaran Buddha.

Dari segi seni bina, perkara paling utama bagi sesebuah kuil Buddha ialah pagoda atau stupa, namun setiap aliran mempunyai bentuk yang berlainan. Menarik bukan?

Pagoda Theravada Sri Lanka memiliki stupa yang ringkas, kubah berbentuk bulat dan mempunyai kon di puncaknya. Ia kosong tanpa banyak ukiran. Namun stupa yang sama, di kuil Thai atau Myanmar mempunyai kon kubah yang berukiran dengan hiasan keemasan.

Stupa kuil Vajrayana mempunyai bentuk yang memanjang dan bersegi manakala kuil Mahayana mempunyai unsur-unsur pengaruh tokong Cina yang jelas.

Kuil Buddha Mahayana bereka bentuk seperti tokong atau istana China memandangkan pemerintah dinasti China ketika itu memilih untuk memberikan keutamaan yang sama kepada kuil sebagaimana istana.

“Hanya istana dan kuil Buddha dibenarkan mempunyai warna-warna diraja iaitu kuning keemasan,” ujar Jue Cheng.

Perbezaan lain yang kita boleh kesan ialah dari segi simbol. Walaupun masing-masing merujuk kepada mesej Jalan Lapan Lapis Mulia tetapi Theravada menggunakan simbol roda dharma manakala Mahayana menggunakan swastika dan Vajrayana pula menggunakan dojre berganda.

Dari segi bahasa penyampaian mantera, Vajrayana dan Mahayana menggunakan bahasa Sanskrit dan Theravada menggunakan bahasa Paali yang berasal dari India dan Sri Lanka.

Dalam penyembahan agama ada beberapa perkara yang tidak boleh disisih, ia adalah pokok Bodhi, bunga teratai, buah-buahan, makanan dan bunga-bungaan yang ditawarkan kepada Buddha setiap hari, lebih-lebih lagi pada Hari Wesak yang mulia ini.