Jangan minum kopi kalau nak timang cahaya mata

kopi-mengandungfmt-ohsem-inside-article1Kalau anda suka kopi dan merancang untuk menimang cahaya mata, maka berhati-hatilah.

Ini kerana satu kajian menunjukkan pengambilan minuman berkafein boleh memudaratkan kehamilan sehingga menyebabkan keguguran.

Penyelidik Universiti Ohio, Amerika Syarikat berkata pengambilan 2 cawan atau lebih minuman berkafein selama beberapa minggu termasuk sebelum hamil mampu meningkatkan risiko keguguran.

Tunggu, ia bukan sahaja ditujukan kepada wanita tetapi untuk lelaki juga.

Ketua penyelidik, Germaine Buck Louis berkata, faktor gaya hidup pasangan seperti menghisap rokok, pengambilan minuman berkafein dan penggunaan vitamin tambahan memberi kesan kepada kehamilan iaitu sebelum konsepsi sehingga minggu ke-7 kandungan.

“Jika seseorang wanita atau pasangannya minum lebih daripada 2 cawan minuman berkafein sehari sebelum konsepsi, berisiko sehingga 75% mengalami keguguran berbanding mereka yang tidak minumnya.

“Kesan pengambilan kafein pada lelaki sama seperti wanita dan menyumbang kepada keguguran janin.

“Walaupun wanita tersebut mengambil vitamin tambahan, namun mereka tetap berisiko sebanyak 55% untuk mengalami keguguran,” jelasnya.

Beliau menggesa agar individu yang berniat menimang cahaya mata supaya menghindari terus pengambilan kafein.