Hadiah DIY sempena hari ibu

mother-dayfmt-ohsem-inside-article1Setiap kali menyambut hari istimewa, perkata pertama yang terlintas dalam kepala ialah, hadiah.

Sempena Hari Ibu ini, kita pasti tidak mahu ketinggalan menyediakan hadiah istimewa buat insan tersayang.

Apa yang lebih bernilai bagi seorang ibu bukanlah sekadar “membeli hadiah” tetapi usaha di sebaliknya yang menjadikannya lebih bermakna.

FMT Ohsem ada beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan untuk ibu anda.
Selain membawanya makan di luar atau “membeli hadiah” apa kata jika sediakan satu “pengalaman” yang mengujakan.

masak1. Masak masakan kegemaran
Berbunyi kliche tetapi percayalah, tiada yang lebih membahagiakan daripada menyediakan makanan dengan air tangan sendiri untuk insan tersayang itu. Mungkin kita mahu bersiap-sedia, pakai cantik-cantik dan bawa ibu ke restoran mewah; tetapi apa kata jika kita luang sedikit masa sediakan hidangan sarapan atau minum petang yang mudah untuk ibu.

kek2. Bakar kek atau biskut sendiri.
Kek atau biskut, antara makanan yang digemari semua dan mempunyai tempoh simpanan yang agak lama. Bila anda buat kek kegemaran ibu, dia boleh simpan dan makan untuk beberapa hari. Teringat pada kek oren kegemaran mak saya pula!

bingkai3. Kad ucapan berbentuk bingkai gambar
Kalau sekadar kad ucapan, ia mungkin boring. Bagaimana dengan kad ucapan berbentuk bingkai gambar? 2 dalam 1!
Kalau rajin, buatlah sendiri kad ucapan yang direka sedemikian rupa supaya berbentuk bingkai gambar. Pilih gambar momen anda dan ibu yang paling indah untuk diselitkan. Ataupun, beli bingkai gambar dan selitkan nota hari ibu dan gambar foto dalam bingkai itu.

ikan4. Hadiahkan haiwan peliharaan yang mudah dijaga
Jangan berinya hadiah haiwan peliharaan yang rumit atau sukar dijaga. Apa kata akuarium ikan yang kecil atau sepasang burung dalam sarang. Bila ibu anda keseorangan atau bosan, ia boleh menjadi peneman yang baik. Tiap kali tengok akuarium, mungkin akan teringatkan anda. Betul tak? Bila ada masa tolonglah bersihkan juga sangkar atau akuarium itu. Jangan sampai mak anda rasa terbeban pula!

hidroponik5. Tanaman hidroponik
Mak anda suka bercucuk tanam? Tetapi mungkin kekangan ruang khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah pangsa, hobi ini terpaksa dilupakan. Sebentar, sebenarnya kita ada alternatif bercucuk tanah menggunakan kaedah hidroponik. Maka, mudahlah ibu anda tanam sayur misalnya, dari dalam rumah.
Beli set lengkap berserta baja, benih dan luangkan masa bersama ibu anda bercucuk tanam. Dalam beberapa minggu, ibu anda akan tunjukkan hasil tanaman dan ia pasti akan beri satu kepuasan kepada anda.

hiasan6.Aksesori buatan sendiri
Kita ada pelbagai cara untuk membuat sendiri aksesori, jadi apa kata gunakan kemahiran itu untuk ibu anda? Sebuah loket cinta berukiran nama anda berdua? Rantai tangan dengan butiran manik kecil mengingatkan zaman kanak-kanak? Atau mungkin sepasang subang warna pilihan ibu. Apa pun, bila dibuat sendiri secara teliti dan penuh kasih sayang, ia menjadi lebih mahal dan bernilai daripada intan permata.

selendang7. Jom tenun selendang
Bukan kerja yang mudah, lebih-lebih lagi jika anda tidak tahu apa-apa mengenai menjahit atau menenun. Okay, bagi yang tak tahu apa-apa, mudah sahaja. Dapatkan sehelai kain selendang dan gunakan benang serta jarum untuk menenun jemeki-jemeki kecil di sepanjang sisi selendang atau jahit manik warna pilihan secawa rawak, atau kalau pandai sikit, tenun gambar atau mesej kepada ibu anda. Selendang itu pasti akan membawa seribu satu kenangan kepadanya kelak. Perkara sama boleh dilakukan pada cadar bantal hiasan rumah.

manja8. Manjakan mata ibu yang penat
Mahu manjakan ibu anda yang penat? Apa kata sediakan set spa mata untuk merehat dan meremajakan semula 2 pintu hatinya itu.
Terdapat banyak kaedah yang dikongsi dalam blog serta portal kecantikan mengenai penyediaan masker atau topeng mata. Pilih masker yang paling sesuai antaranya topeng mata susu dan air ros, lemon, timun, air perahan kentang dan sebagainya.
Mudah sahaja, sediakan kapas muka (berbentuk bulat atau bersegi) dan basahkan dalam air mawar bercampur air perahan kentang/ timun/ teh kosong dan perap (bukan hingga kering). Letakkan atas kedua-dua kelopak mata. Mudah bukan?

clean9. Bantu kemaskan bilik dapurnya
Bagaimana? Mudah sahaja, kerja anda bukan membersih atau menukar dalaman bilik dapurnya, cuma pastikan semua barangan mudah dicapai dan disimpan secara teratur. Misalnya, kalau selama ini segala serbuk atau tepung masakan dan rempah ratus disimpan dalam kotak paket, anda masukkan dalam bekas kedap udara atau balang kaca dan labelkan sebaiknya.
Susun senduk, sudu, garpu dan pisau menggunakan peralatan pengurusan dapur yang banyak dijual di pasar raya. Sediakan pasu kecil untuk daun kari, parsli, dan dedaun masakan lain supaya ia kelihatan lebih menarik.

tupperware10. Bekas makanan dan minuman (Ibu mana yang tak suka?)
Dapatkan pen dakwat kekal dan lukis atau tulis sesuatu yang bermakna seperti ucapan, puisi atau lukis sesuatu yang cantik dan hadiahkan bekas minuman/makanan itu kepada ibu anda. Kita juga ada pelbagai bekas yang menyediakan ruangan untuk menempatkan gambar foto dalam botol minuman. Satu kaedah hadiah separa buatan sendiri yang mudah khususnya bagi kanak-kanak atau remaja muda. Tulislah mesej cinta dalam bekas makanan/minuman untuk ibu anda!