Pattaya: Syurga pelacuran yang tidak akan lenyap

pattaya2Pekerja seks yang hanya mahu dikenali sebagai May dengan selamba meramalkan industri seks di Pattaya akan terus hidup.

Dengan pakaian menjolok mata, May berkata demikian walaupun wujud pelbagai cubaan kerajaan junta “memutihkan” wilayah yang terkenal sebagai Sin City dalam kalangan pelancong asing.

May dan berpuluh-puluh ribu pekerja seks lain tidak merancang untuk bersara.

Ini kerana jumlah kedatangan pelancong asing untuk mendapatkan perkhidmatan seks tidak berkurangan.

Kini, pekerja seks di Pattaya mampu meraih pendapatan 70 hingga 1,500 Bath (RM9 hingga RM187) sehari, 10 kali ganda lebih besar daripada gaji purata negara.

Terletak di sebelah timur Bangkok, label Pattaya sebagai bandar seks bermula ketika era Perang Vietnam di mana ia menjadi lokasi tentera Amerika Syarikat berpesta pada waktu malam.

“Saya menjana pendapatan lumayan di sini untuk menampung perbelanjaan saya dan seisi keluarga,” kata May kepada AFP sambil menunggu pelanggan di Walking Street yang dipenuhi dengan kegiatan malam termasuk bar, pub dan pelbagai aktiviti hiburan lain.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan terus menggempur kawasan itu bagi menghalang kegiatan tidak bermoral berleluasa sekali gus menjejaskan reputasi Thailand.

Ini kerana terlalu banyak laporan dikaitkan antara Pattaya dengan pekerja seks bawah umur, penyalahgunaan dadah dan kegiatan mafia.

Ternyata tindakan pihak berkuasa khususnya polis dan tentera yang membuat rondaan kerap memberi kesan kepada pekerja seks seperti May yang juga seorang transgender.

Leftenan Kolonel Polis, Sulasak Kalokwilas memberitahu, rondaan tersebut sebahagian daripada “Ops Sisyphean: Pembersihan Seks Pattaya” yang menyekat pertunjukan lucah dan kotor.

“Kami cuba mengurangkan jumlah pengunjung yang datang ke bar,” katanya lagi.

Ketika bercakap, beliau dikelilingi beberapa pekerja seks yang berpakaian seksi di depan bar.

Tanpa menghiraukan polis, mereka terus memikat pengunjung dengan menggunakan nama samaran seperti Taboo, G-Sport serta Fahrenheit.

“Wanita transgander dan wanita normal bekerja di sini, mereka tidak terlibat dalam industri seks.

“Mereka bekerja sebagai pelayan, duduk, berbual sambil menari bersama pelanggan,” ujar Ketua Polis Pattaya, Apichai Kroppeth.

Namun apa yang dikatakan oleh Apichai ternyata berbeza dengan realiti sebenar yang berlaku.

Bagi penduduk setempat pula, tindak keras kerajaan terhadap industri tersebut tidak diterima dengan baik, sebaliknya ia dilihat tidak wajar kerana industri itu menyumbang pendapatan lumayan kepada mereka.

“Kamu mengharapkan pemburu haram menjadi pelindung haiwan?” soal seorang warga Barat yang menetap di Pattaya apabila ditanya mengenai usaha pembersihan.

Aktiviti perdagangan seks membawa keuntungan lumayan sejak berpuluh-puluh tahun kepada pemilik bar, wanita, rumah urut, hotel, mafia dan polis.

Malah, bagi wartawan British yang sering membuat laporan mengenai jenayah di Thailand, Andrew Drummond, penduduk tempatan menggelarkan industri tersebut sebagai pon prayote yang bermaksud “pembawa manfaat besar berbentuk wang”.

“Aktiviti ini tidak boleh berlaku tanpa memberi rasuah kepada polis,” ujar Apichai yang turut mengakui walaupun pelacuran haram di Thailand, namun ia mendapat permintaan daripada pelanggan tempatan dan asing.

Premis perniagaan mengambil pekerja seks sebagai pelayan dan penghibur pelanggan di bar bagi mengelak didakwa namun jika berlaku penahanan, pihak bar tidak akan bertanggungjawab.

Ini kerana aktiviti seks hanya melibatkan pelanggan dan pelacur.

Dalam pada itu, turut dipersoal ialah nasib pekerja seks yang yang bergantung kepada industri itu.

Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan terdapat kira-kira 140,000 wanita dalam industri pelacuran di Thailand.

Tahun lalu, 70% daripada 12 juta pelawat Pattaya terdiri daripada pelancong asing dan bagi menepati keperluan penginapan, bandar tersebut memiliki lebih 100,000 bilik penginapan terdiri daripada asrama hinggalah pangsapuri keluarga.