Gadis penghidap kanser rakam foto pra-perkahwinan tanpa pasangan

wedding-picfmt-ohsem-inside-article1Mendapat berita dia menghidap kanser payu dara tidak mematikan semangat wanita muda ini untuk terus mengejar impiannya.

May Chen, 28, masih solo, mengimpikan sesi fotografi pra-perkahwinan yang sempurna buat dirinya. Selepas disahkan menghidap kanser payu dara dia mengambil langkah menguruskan sendiri fotografi tersebut secara bersendirian dan tanpa pasangan.

Dalam temuramah dengan wartawan BBC di Taiwan, May Chen berkata sebelum ini dia pernah mengharapkan seseorang memenuhi impiannya tetapi kini bertekad melakukannya sendiri.

“Saya pilih untuk memenuhi impian saya sendiri,” katanya dalam temuramah itu.

“Saya memilih sendiri semua 4 baju perkahwinan, aksesori dan gaya dandanan rambut untuk penggambaran itu.

“Mereka (jurugambar) suruh saya buat fotografi dalam studio, tapi saya mendesak melakukannya sama seperti fotografi pra-perkahwinan sebenar.

“Saya dibawa ke beberapa lokasi luar menggunakan kereta,” katanya lagi.

May Chen juga mengakui agak beremosi di saat memakai gaun perkahwinan putih kerana impian untuk menjadi “pengantin” akhirnya tercapai.

Wanita ini dalam proses rawatan di mana dia perlu disuntik 3 kali seminggu selain melalui rawatan kemoterapi.

“Saya tak dapat berdiri lama atau memakai seluar, saya terpaksa duduk di atas kerusi roda dan berehat sebelum menyambung berbuat demikian. Rambut saya juga palsu,” katanya tersenyum seolah-olah menyembunyikan segala kepahitan yang dialami.

Gambar foto pra-perkahwinan dan kisah May Chen tersebar di laman sosial sehingga menerima ribuan maklum balas serta ucapan supaya dia cepat sembuh dan kembali normal.

Ramai yang berdoa supaya berlaku “keajaiban” dalam hidup May Chen dan dia akan kembali normal seperti kehidupan mana-mana gadis lain.

“Saya mahu menjadi sumber ilham kepada kepada semua orang di luar sana, tidak kira yang sihat atau sakit. Hidup ini tidaklah begitu buruk kecuali kematian,” jelasnya.

Bagi May Chen, detik dia disahkan menghidap kanser tidak mematikan semangatnya, walau pada hakikatnya dia sedang mengira hari, wanita ini tidak mahu ketinggalan menikmati kehidupannya.

“Orang lain akan fikir mengenai berapa lama mereka akan hidup, adakah rawatan yang diberi berkesan atau sebaliknya dan bila kita akan menemui ajal.

“Bagi saya, jangan risau. Kita pun tidak boleh jangka apa yang akan berlaku. Jadi mengapa tidak menghayati detik semasa?” katanya.

video link