Selamat Hari Ibu, bapa!

Sasidharan-Muniandy

fmt-ohsem-inside-article1Tahukah anda Hari Ibu memberi makna yang berbeza kepada kebanyakan kanak-kanak di dunia.

Dalam hal ini, bukan seorang wanita yang menjadi subjek diraikan tetapi sifat keibuan itu sendiri yang disambut sebagai menghargai insan tersebut.

FMT Ohsem ingin memberikan penghargaan yang serupa kepada insan yang bukan seorang ibu secara biologi tetapi ternyata tanggungjawab mereka dalam menjaga dan membesarkan anak, melalui segala pengorbanan sama seperti seorang ibu.

Insan tersebut ialah bapa tunggal yang mengambil iktibar untuk bukan sahaja menjadi bapa malah berdiri di sisi anak sebagai ibu mereka.

Selamat Hari Ibu, ayah!

Sedia berdepan dengan apa jua rintangan dan cabaran dalam membesarkan anak perempuannya, Danica Nazarene, 9, bapa ini bersama anaknya secara solo sejak 2012 selepas melalui fasa pahit perceraian.

Sasidharan Muniandy, 46 berkata membesarkan anak seorang diri tanpa pasangan di sisi bukan sesuatu yang mudah.

Berkorban lebih sedikit berbanding seorang bapa biasa

“Untuk menjadi ibu dan bapa kepada Danica, saya kena berkorban. Mungkin lebih sedikit daripada seorang bapa biasa tetapi saya gembira kerana ia mendekatkan saya dan anak saya. Kini dia menjadi dunia saya,” katanya.

Sasi yang lahir di Taiping dan membesar di Pualu Pinang pernah ditemani ibu bapanya, atuk dan nenek Danica tetapi tidak lama. “Saya fikir ia tanggungjawab saya dan orang tua saya perlu berehat, bukan menjaga cucu kerana anaknya seorang bapa tunggal,” tambahnya.

Sejak setahun yang lalu, Sasi dan Danica saling menemani disokong dengan rakan baik yang juga “godsister” Sasi, rakan-rakan di gerejanya serta komuniti sekitar yang lain.

Akui anaknya lebih matang berbanding kanak-kanak yang seusia dengannya, Sasi berkata, ia mungkin kerana situasi mereka berdua yang terpaksa hidup secara sendiri.

“Danica seorang anak yang baik, saya hampir tiada masalah dengannya. Kami sebenarnya saling menjaga sesama sendiri. Dia tahu apa dia buat, biasanya dia menemani dirinya dengan buku-buku. Dia menyediakan sarapan ‘bread toast’ pada hari cuti untuk kami berdua.

“Kami luangkan masa bersama dengan membaca, bercucuk tanam, menonton televisyen, memasak khususnya pasta yang merupakan makanan kegemaran Danica dan berjalan-jalan di kompleks beli-belah,” kata Sasi.

Sebagai seorang bapa yang bekerja sebagai pengurus sumber manusia sebuah syarikat minyak dan gas di Petaling Jaya, ternyata Sasi juga menyandang tanggungjawab berat di tempat kerja. Namun bapa ini tahu menguruskan masa supaya anaknya tidak berasa tersisih akibat kepenatan dan kesibukan kerja bapanya.

“Sukar tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak membawa urusan kerja ke dalam rumah, apatah lagi beremosi pada Danica jika adalah masalah di tempat kerja.”

Sasi berkata menjadi seorang bapa yang tegas dalam sesetengah hal, dia juga kena “tune in” dirinya menjadi ibu apabila Danica secara tidak langsung memerlukan sokongan seorang ibu.

“Dari pagi, Danica akan uruskan sendiri dirinya. Cuma, saya kena sikat rambut. Pada hari cuti saya kena cuci rambutnya.

“Selain itu, saya akan buat semua kerja-kerja asas yang lain seperti membersih, mencuci pakaian, menyeterika, sediakan sarapan dan makan malam.

“Selebihnya saya bimbing Danica dalam pelajaran dan aktiviti lain. Setakat ini semuanya okay,” katanya.

Cabaran bapa memahami anak perempuan

Tetapi bapa ini akui sedar dengan keperluan untuk memahami Danica lebih mendalam, apatah lagi anaknya seorang perempuan.

“Saya tak bersedia untuk itu, biar saya terus-terang. Tetapi saya percaya saya boleh lakukannya. Saya tahu ia bukan mudah, Danica akan lalui fasa-fasa tertentu sebagai seorang remaja perempuan dan yakin akan mempersiapkan diri bila masanya tiba nanti,” jelas bapa ini.

Bercakap lanjut mengenai cabaran seorang bapa tunggal menjaga anak, Sasi berkata masyarakat masih kurang memberi penekanan kepada isu ini berbanding keutamaan kepada ibu tunggal. Justeru dia mahu mewujudkan 1 rangkaian bapa tunggal terutama dalam kalangan yang dikenali dalam media sosial sebagai kumpulan sokongan sesama mereka.

“Ia 1 subjek yang tabu kerana masyarakat tidak menjangka seorang bapa tunggal menjaga anak. Hakikatnya ramai bapa yang berbuat demikian. Seperti saya, seorang anak ramai tetapi ramai di luar sana yang menjaga lebih 2 anak,” katanya.

Ditanya jika Danica akan menyambut Hari Ibu, Sasi berkata, mereka akan menyambut “Hari Ibu Bapa” (Parents Day) bersama.

“Kami akan ke Bangkok. Ia atas urusan kerja saya tetapi, ya, kami akan meluangkan masa bersama. Biasanya itu yang saya lakukan bila ke luar negara, bawa Danica bersama. Lagipun di memang suka ‘travel’.

“Sebelum ini saya luangkan Hari Ibu bersama keluarga rakan gereja atau ‘god sister’ saya. Saya tetap mahu Danica menghargai hari ini,” jelasnya.

Rindu anak selepas bercerai

Bagi seorang lagi bapa yang ditemui FMT Ohsem, Amin Ghazali juga 40an, memilih menjadi ibu dan bapa kepada anaknya selepas bercerai pada tahun 2007.

Walaupun pada awalnya memilih untuk tinggal bersama rakan lelaki, dia tidak dapat melupakan anaknya. Bapa ini sedia memindah tempat kerja supaya berdekatan dengan kediaman bekas isteri agar dapat bersua muka dengan 3 anak lelakinya itu setiap hari.

“Saya tak mahu apa yang berlaku di antara kami mempengaruhi minda anak-anak. Malah sebelum bercerai pun, anak saya dijaga oleh pembantu rumah Indonesia kerana beliaulah yang memasak, membasuh pakaian, melakukan kerja rumah. Bekas isteri saya selalu balik kerja lewat dan semua ini menambahkan kerisauan saya terhadap anak,” kata Amin.

Hari cuti merupakan hari yang ditunggu-tunggu Amin kerana anak-anaknya bersama beliau sepanjag hari.

Amin akhirnya memilih untuk berkahwin semula dan ia menjadi faktor anak-anaknya juga tinggal bersama Amin dan ibu baharunya.

“Syukurlah, ibu kandung mereka juga lebih suka mereka tinggal bersama saya, mungkin kerana ia memudahkan beliau. Walaupun tinggal bersama saya dan ibu tiri, segala urusan berkaitan anak saya, saya buat sendiri. Dari memasak, seterika baju, menghantar tuisyen, semuanya.

“Saya didik mereka membantu membuat kerja rumah dan pastikan mereka mendapat apa yang mereka mahu dan belajar bersungguh-sungguh. Pendek kata sayalah ayah dan sayalah ibu. Cuma pada hari minggu mereka ke rumah ibu,” jelasnya.

Kasih saya bapa tidak sama dengan ibu

Mengaku kasih sayang yang diberinya itu tidak boleh sama dengan “kasih sayang seorang ibu” tetapi Amin akui terus berusaha memberikan yang terbaik.

Kini Amin menarik nafas lega selepas ketiga-tiga anak lelakinya mendapat keputusan cemerlang dan berada di sekolah berasrama penuh dan universiti

“Bagi saya, peluang menjadi ayah dan ibu adalah1 pengalaman yang menarik untuk memahami beratnya tugas seorang ibu.

“Boleh dikatakan hampir tiada masa untuk berehat, tetapi saya amat bersyukur kerana dapat membesarkan mereka sebaiknya,” kata bapa ini.

Ternyata Sasi dan Amin hanya sebilangan kecil bapa yang memainkan peranan ibu kepada anak mereka. Kita tidak boleh melupai pelbagai berita mengenai bapa tunggal yang sedang dan masih berusaha sebaik mungkin bukan sahaja berkorban masa dan tenaga tetapi segala kegembiraanya demi memenuhi 2 tanggungjawab, bapa dan ibu.

Walhal, tak salah jika mereka juga disambut pada hari ini- Hari Ibu dan Hari Bapa tidak lama lagi.