Kena tampar, tumbuk, bukan perkara baharu

tampar-pelajar

fmt-ohsem-inside-article1Kejadian kena tampar bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, negara pernah digemparkan dengan pelbagai insiden serangan fizikal sama ada ditampar, ditumbuk mahupun dibaling kasut.

Memandangkan kes David Teo ditampar oleh pelawak veteran Sulaiman Yassin atau lebih dikenali Mat Over masih menjadi tajuk utama akhbar, FMT Ohsem mahu imbas beberapa kes serupa yang melibatkan orang kenamaan di dalam mahupun di luar negara.

Jom!

  1. Ingat lagi kes seorang anggota UMNO menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan? Menurut laporan, individu tersebut, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Hulu Selangor, Muhammad Rizuan Suhaimi berbuat demikian di pejabat wakil rakyat itu selepas satu program dianjurkan di kawasan berkenaan pada Januari 2014. Bagaimanapun kes tersebut selesai aman selepas Rizuan meminta maaf dan Kamalanathan menganggap ia satu isu peribadi yang tidak perlu diperbesarkan lagi.
  2. November lepas, Datuk Seri Jamal Md Yunos ditumbuk individu tidak dikenali ketika pergelutan antara kumpulan baju merah dan polis. Ketika kejadian, Jamal mengekori Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang mempromosi perhimpunan Bersih 5 di pusat beli-belah Ampang Point. Jamal dikatakan menolak seorang lelaki yang memakai baju Bersih sehingga memaksa polis campur tangan. Dalam pergelutan itu Jamal dipercayai ditumbuk di hidung. Jamal yang menjerit polis yang memukulnya bagaimanapun akui ia dilakukan oleh salah seorang pengikut Zuraida.
  3. Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia menawarkan RM500 buat mana-mana individu yang berjaya menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan merakamkannya. Tawaran itu dibuat aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mustafa Hamzah ketika menjadi pengacara majlis demo ringkas perikatan NGO itu berhampiran Jalan Tun Perak, pada Februari 2015. “Ganjaran ini akan diberikan secara tunai kepada pemuda yang berani mempertahankan tanahair,” katanya.
  4. Ingat lagi insiden Imam Masjid Negara, Kuala Lumpur Mohd Zuhairee Mohd Yatim yang ditampar seorang warganegara asing ketika mengimamkan solat Jumaat? Dalam kejadian pada September 2015, warganegara India itu tampil menolak iman sebelum menamparnya dan cuba mengambil alih peranan beliau. Lelaki 31 tahun itu kemudian ditarik keluar oleh petugas masjid dan diserahkan kepada polis. Suspek itu dipercayai kurang waras dan bercakap seorang diri.
  5. Dalam Sesi Dialog Bersama Pe mimpin PAS Kawasan Rantau Panjang di Kampung Banggol Kulim, pada Oktober 2015 yang lepas, berlaku kekecohan apabila Yang Dipertua PAS kawasan itu, Abdul Fatah Haron ditampar seorang lelaki dipercayai ahli parti itu sendiri. Ia menyebabkan cermin mata dipakai Abdul Fatah patah selain kecederaan pada pangkal hidungnya. Ahli parti dikatakan tidak berpuas hati dengan isu pembahagian geran tanah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Bukit Tandak.
  6. Harimau Jelutong, mendiang pemimpin kanan DAP, Karpal Singh juga dikatakan pernah ditampar oleh seorang pemimpin Melayu, Arshad Mat Gamat. Ia berlaku selepas kata-kata Karpal menyebabkan orang Melayu marah. Arshad dipenjara kerana tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk membayar denda sehingga sebuah NGO Selangor tampil membayar duit jaminan itu. Maklumat lanjut mengenai insiden itu tidak diperolehi.
  7. Teringat juga kepada Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin yang mengugut untuk menampar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kononnya seperti yang dilakukannya kepada seekor buaya pada Mac 2014. . Ibrahim berkata demikian setelah Khairy meminta agar bomoh itu diberkas polis atas perbuatannya menjalankan upacara memanggil semula pesawat MAS MH370 dengan duduk di atas tikar serta penggunaan 2 biji kelapa dan teropong di KLIA.
  8. Dr Leong Weng Kuang, wakil parti MCA Kedah juga pernah ditumbuk di bahagian pipi kanan sehingga jatuh dan mengalami luka dan bengkak di jari tangan kiri serta siku kanan selepas satu sesi ceramah di Taman Kelisa Emas, Seberang Jaya. Tiga lelaki dipercayai penduduk taman perumahan tersebut berbuat demikian selepas tidak berpuas hati dengan ceramah tersebut. Kejadian berlaku pada Mei 2015.
  9. Ketua Wira PERKASA Lenggong, Saad Abdul Rahman dikatakan ditumbuk Ketua Pemuda UMNO Lenggong, Mohamad Iruan Zulkefli. Saad cedera di muka dan menerima 3 jahitan. Dalam kejadian pada Januari 2015, Shamsul menghadiri majlis yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. Insiden itu tercetus apabila seorang lelaki tiba-tiba menerpa ke arah beliau dan meminta Perkasa supaya tidak mengganggu urusan Pemuda Umno.
  10. Selain Malaysia, kejadian menampar pemimpin negara juga pernah berlaku di India. Seorang pemuda menampar muka Menteri Pertanian India, Sharad Pawar untuk menarik perhatian berhubung kenaikan harga makanan dan amalan rasuah di negara berkenaan. Pawar, 71 tahun sedang bercakap kepada pemberita apabila diserang lelaki tersebut. “Tahukah anda kenapa saya memukul beliau? Orang ramai di negara ini tertekan. Adakah saya salah?” jerit lelaki dalam insiden pada November 2011
  11. Tiada sesiapapun yang boleh lupa kejadian wartawan Iraq membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, George W. Bush. Ia berlaku semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq pada Disember 2008. Wartawan itu, Muntazer al-Zaidi bangun sewaktu sidang akhbar Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik dan menjerit dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu membaling kasut yang dipakainya. “Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq,” jerit Muntazer.

Dan senarai ini terus memanjang. Nampaknya kalau nak jadi pemimpin atau pejuang kena tahan semua ini.