Emoji haid elak pemikiran ‘taboo’

period-emoji-haidfmt-ohsem-inside-article1Saya nak bercakap mengenai perkara yang masih dianggap “taboo” oleh sesetengah orang iaitu haid.

Sebagai wanita, kita semua mesti ingat lagi hari pertama didatangi haid, bukan?

Hari pertama saya mendapat haid, saya rasa takut. Ingat nak mati, mungkin sedang mengira hari-hari terakhir. Itulah yang bermain di fikiran saya.

Saya belum bersedia memberitahu ibu, saya berdoa supaya Tuhan beri 1 hari lagi. Kerana petang itu kami sekeluarga sedang bersiap untuk menyambut hari jadi abang saudara.

Tak boleh simpan lama, lalu saya pun beritahu ibu sambil menangis. Bayangkan pada usia 12 tahun saya tidak dididik mengenai kedatangan haid. Masyarakat kita begitu malu untuk berbincang perkara itu termasuk dengan anak perempuan sendiri.

Sebagai satu-satunya anak perempuan dan membesar bersama adik-beradik lelaki, saya juga kurang ilmu mengenai kejadian biologi semula jadi itu.

Hari ini, saya perlahan-lahan mendedahkan anak perempuan dan lelaki saya dengan perkara ini. Sekurang-kurangnya mereka tahu ibu mereka juga ada ‘kain lampin’. Bila mereka matang nanti bolehlah saya dedahkannya lebih lanjut. One at a time!

Kalau kita benar-benar mahu menuju ke negara membangun, sudah tiba masanya kita mendidik dan mengajar anak lelaki dan perempuan mengenai kejadian biologi semula jadi ini.

Satu laporan The Guardian menyatakan pada satu-satu masa, kira-kira 800 juta wanita di dunia didatangi haid. Namun ramai yang enggan bercakap mengenainya kerana malu atau menganggapnya jijik.

Ikuti laporan lanjut The Guardian mengenai kajian organisasi kebajikan Perancangan Antarabangsa di Australia yang memfokuskan 2,000 responden wanita berusia antara 18 hingga 34 mengenai haid.

Menurutnya, 7 daripada 10 wanita berasa tidak selesa untuk bercakap mengenai haid dengan teman sekerja lelaki di pejabat. Hanya 1 daripada 3 wanita selesa bercakap mengenainya dengan majikan wanita.

Di sekolah, hampir separuh pelajar perempuan malu berbincang mengenainya dengan guru wanita dan 75% pula enggan bercakap mengenainya dengan guru lelaki.

Perbezaan ketara wujud di antara kedua-dua jantina selepas seorang kanak-kanak perempuan mencapai akil baligh.

Bayangkan, di negara membangun juga remaja perempuan berasa tidak selesa ke sekolah atau dibuli ataupun akui tidak diberi peluang saksama apabila didatangi haid, satu proses yang tidak boleh dikawal.

Tahun lepas di Nepal, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mati kerana sesak nafas selepas diarah tidur dalam pondok usang kerana dia didatangi haid. Dia disisihkan masyarakat kerana kepercayaan karut masyarakat terhadap haid.

Kita mungkin bertuah kerana hidup di negara yang lebih terbuka di mana kita mudah mendapat bekalan tuala wanita, tandas yang mesra pengguna namun elemen “taboo” masih memberi kesan.

Kajian Perancangan Antarabangsa di luar negara menunjukkan, wanita di kawasan pedalaman Ghana enggan bersemuka dengan orang luar ketika haid, 51% wanita di Ethiopia tidak hadir ke sekolah ketika haid dan di India, hanya 1 daripada 10 wanita mempunyai akses kepada bekalan tuala wanita.

Di negara maju seperti Australia dan United Kingdom (UK), bercakap mengenai haid, tuala wanita, tampon masih dilakukan secara tersembunyi seolah-olah ia perkara kotor atau tidak boleh dibincangkan.

“Bersempena dengan World Menstual Hygiene Day, mungkin sudah tiba masanya kita bercakap secara lebih terbuka dan mendidik masyarakat mengenai haid. Ia mungkin sesuatu yang menyusahkan, tidak selesa, sakit tetapi ia tidak bermakna wanita perlu malu dengan proses itu,” petik Guardian.

Ekoran itu, organisasi Perancangan Antarabangsa UK dan Australia melancarkan kempen emoji haid untuk menghapus stigma berkait dengannya.

Emoji itu akan menggambarkan perasaan seperti senggugut, berangin, emosi tidak selesa, emosi yang tidak dapat dikawal dan emoji makanan yang memberi keselesaan sewaktu haid.

Organisasi ini percaya emoji ini akan memudahkan wanita berinteraksi kerana ia menjadi salah satu bahan komunikasi digital utama pada masa kini.

Ia juga menyampaikan rasa kecewa terhadap Unicode yang menawarkan lebih 1,088 emoji termasuk goblin hidung panjang, disket, unikon, bahan buangan tetapi tiada emoji untuk haid.

Nampaknya ia terus disenyapkan termasuk di dalam alam digital.

“Pertama, kita kena buka minda semua orang, tidak salah bercakap mengenainya. Elak memikir haid sebagai masalah wanita tetapi sesuatu yang berlaku semula jadi,” petik kata jurucakap organisasi itu.