#zerofoodwastage, cara Hotel Sunway elak pembaziran makanan

zerofoodwastage0fmt-ohsem-inside-article1Kita semua tidak suka pembaziran. Setiap jenis barangan yang dibazir itu wang atau mungkin sesuatu yang lebih berharga kepada mereka yang memerlukannya.

Di bulan Ramadan, kerap kali kita mendengar mengenai pembaziran makanan termasuk makanan yang langsung tidak diusik khususnya di hotel-hotel mewah yang besar. Buat sakit hati bila memikirkan golongan tidak berkemampuan yang hanya berbuka ala-kadar, setakat memenuhi syarat makan.

Mengambil kira aspek yang sama, Sunway Berhad melalui Sunway Hotels & Resorts melancarkan kempen Sunway #zerofoodwastage (Zero Food Wastage).

Ia bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik sekali gus mengatasi masalah pembaziran makanan.

Dalam satu laporan Bernama, Timbalan Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Razman M. Hashim berkata, melalui program itu lebihan makanan yang belum terusik dan masih berkondisi baik bakal diagihkan kepada lebih 100 individu setiap hari dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Kechara Soup Kitchen.

“Dianggarkan 270,000 tan metrik makanan dibazirkan setiap kali Ramadan, jadi ini antara inisiatif kami bagi mengatasi isu ini ” katanya.

Program itu juga diharap untuk mendidik orang awam supaya tidak membazir makanan selain memberi kesedaran membantu golongan lebih memerlukan terutamanya mereka yang miskin bandar dan gelandangan.

Kempen #zerofoodwastage ini dicetuskan oleh Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun lalu bagi menghentikan pembuangan lebihan makanan sepanjang bulan Ramadan terutama dari hotel yang menyediakan perkhidmatan bufet.

Tengku Zatashah berkata antara cabaran terbesar menjayakan kempen tersebut adalah proses untuk menjaga kebersihan dan keselamatan makanan dalam memastikan ia berkeadaan baik dan tidak tercemar.

zerofoodwastage1“Kualiti makanan dijaga dan dipelihara mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan seperti dibalut menggunakan plastik kedap udara dan dipanaskan semula agar ia selamat dimakan.

“Ramai yang menunjukkan minat untuk menyertainya, namun banyak juga pihak yang menolak kerana polisi tidak boleh memberi lebihan makanan dan kita perlu faham dan menghormatinya,” katanya.