Filem dedah hubungan Ratu Victoria dan teman lelakinya, Abdul

victoria-abdulfmt-ohsem-inside-article1Trailer filem ‘Victoria and Abdul’, baru sahaja ditayangkan dan nampaknya menerima respon positif penonton.

Filem ini mengisahkan persahabatan antara Ratu Victoria dan pembantu lelakinya, seorang lelaki Islam yang bernama Abdul Kareem.

Filem “Victoria and Abdul” merupakan sebuah drama biografi lakonan Judi Dench dan Ali Fazal sebagai watak utama, digambarkan sebagai, “persahabatan yang tidak mungkin berlaku dalam sejarah” (History’s most unlikely friendship) antara Ratu Victoria dan pekerjanya, Abdul Kareem dari Agra, India.

Asalnya, ia berdasarkan novel tulisan Shrabani Basu, yang memetik kisah pemerintah imperial ke-62, Ratu Victoria dari Britain yang turut menaungi negara India ketika itu.

Watak yang dibawa Judi Dench selaku Ratu Victoria kelihatan konkrit dan sangat jelas, pasti memberi kesan mendalam kepada penonton manakala watak lakonan Ali Fazal pula menyerlahkan bakat lakonannya yang sama-sama menyakinkan, apatah lagi sebagai pelakon yang masih baharu.

Ia menceritakan bagaimana seorang pelayan di ruang makanan permaisuri bersama para pemerintah, menteri dan golongan artisan yang diberi layanan istimewa sehingga dapat masuk ruang peribadi Ratu Victoria.

Kisah ini dipercayai mendedahkan beberapa elemen “benar” di sebalik persabahatan seorang permaisuri Eropah dan orang gajinya dari India.

Ali berkata pengalamannya sangat jitu dan wataknya bukanlah sebarangan.

“Ia sebuah kisah realiti dan untuk memainkan watak utama, ia ternyata satu peluang yang tidak dijangka.

“Saya langsung tidak menyangka akan dipanggil untuk melakonkan watak ini, membelakangkan calon yang jauh lebih berpengalaman dan saya idolakan selama ini,” katanya kepada Times of India.

“Penggambaran filem ini menjadi batu lonjatan yang sangat besar kepada kerjaya saya yang masih baharu. Saya berlakon dalam watak kecil bagi filem 3 Idiots kemudian beberapa filem di Bollywood, saya berlakon dalam Furious 7 bersama watak utama dan kini dalam Victoria and Abdul sebagai Abdul itu sendiri.

“Bekerja bersama Judi, Stephen Frears, Micheal Gambon, Eddie dan krew hebat filem ini lebih daripada apa yang saya pernah impikan,” katanya.

Trailer itu juga menunjukkan keserasian pelakon Ali Fazal dan Judi Dench dalam satu babak di mana mereka bercakap mengenai buah mangga yang hanya boleh didapati di India.

Filem arahan Stephen Frears ini membawa penonton kepada abad ke-17 dengan mengambil kira semua penelitian yang mengaitkan keluarga diraja Victoria.

Victoria and Abdul dijangka ditayangkan di pawagam pada 15 September 2017.