Isteri hamil mengidam naik UFO, suami terpaksa penuhinya

pregnant-ufofmt-ohsem-inside-article1Apa permintaan pelik isteri anda ketika hamil?

Kita percaya permintaan wanita hamil, yang juga disebut ‘mengidam’ harus dipenuhi, kalau tak nanti ada kesan pada ibu dan anak.

Jadi si suami atau ahli keluarga yang lain akan mencuba sedaya upaya untuk menunaikan permintaan mereka supaya tiada masalah kelak.

Tetapi bila si isteri mengidam yang bukan-bukan bagaimana anda penuhinya?

Tentu sukar, misalnya bagi seorang lelaki ini apabila isterinya yang sedang sarat mengandung mengidam nak naik UFO.

Ya, UFO, kapal terbang makhluk asing tu!

“Allahuakbar … Mula-mula ingatkan dia melawak. Aku gelak jer. Malam tu tengah tidur, dia boleh menangis pada 3 pagi. Ingatkan sakit perut nak beranak ke apa…rupanya dia terasa aku gelakkan dia petang tu,” petik kata si suami yang enggan dikenali itu.

Rintihan itu dikongsi dalam laman sosial Facebook, Info Ibu Mengandung pada 31 Mei yang lalu tanpa identitinya didedah.

Tambah si suami ini lagi, memandangkan isterinya berkeras dan tidak mahu sesuatu terjadi kelak, beliau memberitahu perkara tersebut kepada ibunya.

“Tiap-tiap malam dia cakap nak naik UFO. Aku ni dari rasa nak gelak dah bertukar jadi rasa nak marah. Aku cerita benda ni kat mak, mak cakap kau bawa je dia pergi naik UFO mainan kat Tesco tu. Masukkan token boleh gerak-gerak,” sambung tulisannya.

Kesian pun kesian, kelakar pun ada melihat kenaifan isterinya itu.

Akhirnya, permintaan isterinya dipenuhi selepas mengikut nasihat ibu lelaki itu dengan menaiki UFO mainan di Tesco.

“Masa lalu kat tempat mainan tu aku tanya lagi dia nak naik UFO mainan tak? Dia nak oiiii. Aku terus beli token.”

Walaupun dipandang serong oleh pelanggan lain yang lalu-lalang, si suami itu akui terpaksa tebal muka dan memenuhi permintaan isteri.

Tak habis dengan itu, kini lelaki itu sekali lagi resah apabila isterinya minta mahu menaiki kapal terbang pula.

“Perut dah nak meletup, macam manalah aku nak bawa naik kapal terbang. Nampak gayanya esok kena bawa pergi Tesco lagi la…

“Ibu mengandung ni memang perangai macam ini ke? Pelik sangat dah aku nampak. Semoga diberi kekuatan untuk layan karenah dia… Amin,” sudahinya.

Nasib baiklah si isteri itu setuju naik UFO mainan, kalau nak naik UFO sebenar, entah macam manalah agaknya nasib si suami itu.