Model Sindrom Down serlah kecantikan atas pentas peragaan

Siti-Marina-Frohlichfmt-ohsem-inside-article1Atlet Paralimpik, Siti Marina Frohlich mungkin menghidapi masalah Sindrom Down tetapi ia tidak menjadi penghalang baginya menjadi model pakaian dalam memperaga busana koleksi Raya.

Peluang itu ditawarkan oleh Maqilla Boutique yang memilih model Sindrom Down untuk memperaga koleksi pakaian mereka seiring dengan slogan ‘You are your own kind of beautiful’.

Pilihan ini sekali gus membelakangkan tradisi pentas peragaan yang selama ini hanya didominasi model yang cantik, berkulit putih dan langsing.

“Semua orang cantik di dalam, dan saya rasa saya cantik,” kata Siti Marina yang ternyata terharu menjadi sebahagian daripada kempen tersebut.

“Saya sangat selesa dengan pakaiannya,” katanya seperti yang dipetik M Star.

Menurut laporan akhbar itu lagi, usaha itu dijayakan dengan kerjasama Maqilla Boutique dan Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Siti Marina memberitahu dia menyukai baju kurung biru yang diperagakan dan tugasnya di atas pentas tidaklah sesukar mana.

“Ia mudah untuk mengikut arahan, dan saya berlatih (bergaya) di rumah,” petik katanya.

Menurut pemilik bersama Maqilla Boutique, Nur Aqilah, 30, Siti Marina memperagakan pakaian bersama Khoh Hui Qi seorang lagi model yang muda dan bertenaga.

“Kami biarkan mereka menggaya pakaian mengikut tata rias wajah dan dandanan rambut, mereka sudah bersedia. Saya kagum,” ujar Nur Aqilah.

Tujuan Nur Aqilah dan rakan niaganya Wan Irmawati Idayu tampil dengan kempen unik tersebut adalah untuk membantu komuniti Sindrom Down dengan menyedarkan komuniti mengenai perkara yang sewajarnya, dan bukannya bagaimana bezanya wajah mereka.

“Kita mahu orang melihat bakat terpendam mereka, daripada melihat kekurangan mereka,” katanya.

Menurut Wan Irmawati, kempen itu diadakan hasil pengalaman peribadi mengendalikan kanak-kanak istimewa.

“Ia menekankan kecantikan boleh digambarkan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira siapa mereka,” jelasnya lagi.