Kakitangan bukan Islam CIMB berpuasa sehari ikuti cabaran Puasa-thon

Yong-Jiun-Run

fmt-ohsem-inside-article1Cubaan kali pertama untuk berpuasa, lelaki bukan Islam ini hanya menyerah pada kemampuannya menahan diri daripada makan dan minum mengikut cara agama Islam pada bulan Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbankan Komersial Kumpulan CIMB , Yong Jiun Run bertekad untuk menamatkan cabaran “Puasa-thon 2017” yang diadakan untuk tempoh satu hari terpilih daripada bulan Ramadan ini.

Yong bukan keseorangan malah salah seorang daripada lebih 100 kakitangan bukan Islam lain yang mengambil bahagian dan berjaya berpuasa penuh semalam.

Amalan berpuasa ini juga dilanjutkan dengan amal menyumbang RM100 setiap seorang kepada rumah anak yatim dan rumah orang tua terpilih serta orang kelainan upaya (OKU).

Bagi syarikat perbankan dan pelaburan, CIMB Islamic Bank Berhad, percubaan ini bukan baharu tetapi acara tahunan yang diadakan buat kali ke-2 bagi menggalak kakitangan bukan Islam berpuasa sehari semasa bulan Ramadan.

Menurut laporan Bernama, Yong yang juga penaung Puasa-thon akui tidak berasa lapar walaupun terikat dengan jadual kerja yang sibuk sepanjang hari.

“Pada mulanya, saya memang menyangka akan terasa sangat lapar dan tiada boleh ‘tahan’ apatah lagi menjelang waktu makan tengah hari. Saya mengingatkan diri supaya bersabar dan elak memikir mengenai makanan,” katanya semasa berucap pada acara itu, petik Bernama.

Acara itu bertujuan untuk meningkatkan kefahaman yang mendalam antara agama dan memupuk semangat kekitaan serta menyumbang kepada badan amal di samping menyatukan kakitangan CIMB melalui pengalaman yang unik ini.

“Kami diajar cara berpuasa, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa berpuasa dan diberitahu amalan berpuasa membantu membersihkan tubuh badan serta baik untuk kesihatan.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB, Rafe Haneef berkata beliau kagum dengan penyertaan kakitangan bukan Islam dalam acara Puasa-thon tahun ini.

“Tahun lepas, kira-kira 200 kakitangan bukan Islam menyertai acara ini. Kami menerima maklum balas positif supaya acara ini diadakan setiap tahun dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” kata beliau.