Anak Ziana Zain tak minat media sosial

ziana-zainfmt-ohsem-inside-article1Sibuk bagaimana sekalipun, seorang ibu pasti tidak terlepas pandang mengawasi anak mereka, termasuklah artis popular seperti Ziana Zain.

Harus diakui, kanak-kanak dan remaja zaman kini terlalu dimanjakan dengan pelbagai pemberian, kebebasan bersosial apatah lagi jika anak itu dipengaruhi populariti ibu bapa mereka.

Bagi Ziana, biarpun sibuk dengan kerjaya, beliau tetap peka dan pastikan anak-anaknya tidak terbuai dengan pergaulan media sosial yang pada dasarnya tidak membawa kesan yang baik.

“Kebanyakan orang yang ‘add’ Aiman di media sosial adalah kawan-kawan serta peminat saya, bukannya kawan dia. Jadi, dia mengambil keputusan memadam akaun tersebut,” kata Ziana seperti yang dipetik Astro Gempak.

Anaknya Muhammad Aiman, 17, dan Muhammad Ammar, 13, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 8, tidak pernah digalak terjebak dengan ketagihan media sosial.

“Anak saya kurang terdedah dengan laman sosial. Dulu, Aiman mempunyai Facebook. Selepas itu ramai orang yang mahu ‘add’ dia sebagai kawan.

“Kalau boleh saya tak mahu anak saya terdedah dan terlalu leka dengan laman sosial. Namun begitu, perubahan teknologi di zaman sekarang memang sukar untuk saya jangka.

“Saya pun tak tahu apa yang bakal terjadi di masa hadapan. Buat masa sekarang, saya tidak nampak mereka mempunyai minat dan leka terhadap perkara tersebut,” katanya lagi.

Ziana dikurniakan 4 orang anak hasil perkahwinannya dengan Armin Zahrin.

Beliau juga dikenali sebagai artis yang jarang mendedahkan keluarga khususnya anak-anak di khalayak, khususnya menerusi laman sosial.

Kebanyakan muat naik status dan perkongsian di laman sosial beliau hanya berkait dengan aktiviti seni dan diari harian serta bahan kongsi yang lain.