5 iklan ‘mata masuk habuk’ Raya

iklan-rayafmt-ohsem-inside-article1Iklan Raya tahun ini semuanya menarik dan menyentuh perasaan.

Ikatan kekeluargaan, kasih sayang ibu bapa dan anak dan penantian ibu menjadi garapan utama yang diselitkan dengan unsur humor yang menghiburkan.

Baru-baru ini FMT Ohsem senaraikan 5 iklan Raya paling “win” dan nampaknya kita ada tambahan kepada iklan tersebut.

Justeru kami kompilasikan 5 iklan Raya ‘mata masuk habuk’.

Jom tonton!

Iklan Raya Tenaga Nasional (TNB)

Macam tak lengkap kalau tiada iklan Raya dari Tenaga Nasional Berhad (TNB). Iklan kali ini, dugaan Raya Aida agak kelakar. Menyelitkan karakter Aida sebagai watak utama yang terikat dengan pelbagai kerja, dalam masa yang sama digesa keluarga supaya balik kampung.

Bukan itu sahaja, dia juga dipesan membeli pakaian adik-adiknya termasuk kucing peliharaan (bab itu agak kelakar). Macam mana Aida nak siapkan kerja, kumpul duit untuk beli persiapan raya dan cabarannya berdepan dengan dugaan balik kampung apabila tiket basnya hancur ‘dikisar’ mesin basuh.

Kredit: TenagaOfficial

Iklan Raya Yoes

Iklan ini tercetus daripada kisah ibu yang mendambakan kasih sayang anak. Iklan #DiariRamadanOpah ini dibawakan dalam mode bersahaja dan di akhiri dengan elemen penuh emosi. Pembuka iklan ini menonjolkan seorang kanak-kanak membaca diari opahnya dan mentertawakan setiap perkara yang ditulis.

Tetapi di akhir catatan, opah kanak-kanak itu berkongsi betapa pentingnya sambutan Hari Raya kerana dapat mengisi kekosongan hidup opah sejak kematian suaminya. Mari kita saksikan iklan itu.

Kredit: Minis Spam

Iklan Raya Digi

Iklan Digi ini mengetengahkan elemen “beban” yang sebenarnya bersifat material tetapi yang penting pada hari mulia ialah kasih sayang. Seorang lelaki yang kurang berkemampuan pulang beraya tanpa membawa apa-apa untuk keluarganya. Dia menjunjung sebuah beg galas merah yang makin membesar setiap kali dia menerima pesanan telefon dari ahli keluarga lain yang berkongsi barangan yang bakal dibawa pulang oleh mereka.

Beban semakin menebal, beg pun semakin besar sehingga tidak muat diletakkan di dalam bas. Lelaki itu akhirnya terpaksa berjalan kaki ke kampung. Ketika itu dia terserempak dengan warga emas yang sekali gus “menurunkan” bebannya. Jelas, beban yang kita pikul dalam hati akan hilang apabila kita menyedari hakikat sebenar di sebalik nikmat sambutan. Kasih sayang adalah segalanya.

Kredit: Sentap DotCom

Iklan Raya AKPK

Iklan bertajuk “Sahabat Raya” ini mengimbas kenangan seorang lelaki yang terputus hubungan dengan sahabat baiknya kira-kira 40 tahun dahulu. Iklan itu mengetengahkan keakraban 2 kanak-kanak lelaki sehinggalah salah seorang terpaksa berpindah sebelum mereka sempat beraya.

Apapun pertemuan mereka selepas 40 tahun, satu detik yang mendukacitakan. Mengambil semangat perayaan, rakan itu menghulur kehidupan baharu sekali gus menyambut sambutan Hari Raya yang tidak kesampaian 40 tahun dahulu. Nak tahu lebih, saksikan iklan yang dibawa khas oleh AKPK ini.

Kredit: Sentap DotCom

Iklan Raya Maxis

Memetik konteks kepentingan hubungan, iklan bertajuk “Wayang Sayang” oleh Maxis ini bukanlah mengenai kasih saya ibu atau bapa. Ia mendedahkan hubungan suami isteri yang bakal retak dan bagaimana mereka olok-olok mempertahan ikatan itu dengan berlakon di hadapan ahli keluarga yang lain.

Namun, sepucuk surat wasiat dari bapa lelaki tersebut mendedahkan betapa bangganya beliau membidik setiap kenangan perkahwinan anak lelaki dan menantunya itu. Gambar foto itu akhirnya membawa kepada kesedaran terhadap perhubungan suami isteri itu dan mereka saling bermaafan.

Kredit; Malaysia Viral

Hmm…. cari punya cari, tak dapat jumpa iklan raya dari Petronas, kecuali iklan derma buku Petronas dan Grab. Jika ia sebahagian daripada iklan perayaan, tak pasti. Apapun kita masih ada seminggu lagi untuk beraya dan pelbagai syarikat besar mahupun kecil bersaing memapar iklan kreatif mereka. Kita lihat kalau ada lagi iklan best untuk dikongsi.