Kampung di Negeri Sembilan dapat lampu jalan

kampung

fmt-ohsem-inside-article1Kebanyakan jalan kampung tidak akan sepi dan gelap lagi setelah matahari terbenam, keselamatan penduduk kampung pula akan lebih terjamin, malah, mereka pastinya lebih selesa dan mudah bergerak ke sana sini pada waktu malam.

Keselesaan itu bakal dinikmati apabila lebih banyak jalan di ratusan kampung di seluruh negara diterangi melalui projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) selesai dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sehingga Oktober tahun ini.

Kampung Ujong Pasir, Kampung Dusun Nyior dan Kampung Bukit Merbah adalah antara ratusan kampung di Negeri Sembilan yang mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek LJK8.

Ketua Kampung Ujong Pasir, Johari Shafie, 57, yang ditemui pada pelancaran LJK8 peringkat Negeri Sembilan baru-baru ini berkata, projek berkenaan adalah penambahbaikan kepada kemudahan sedia ada di kampung beliau.

Walaupun kampung itu mendapat kemudahan elektrik sejak 1980, namun suasananya berterusan sepi pada waktu malam memandangkan hanya jalan utama dilengkapi lampu. Jadi, kebanyakan penduduk jarang keluar rumah pada waktu malam kecuali kalangan yang mempunyai kenderaan bermotor.

“Setelah sekian lama, mulai tahun 2000, jalan-jalan di kampung kami mula mendapat kemudahan lampu dan sejak itu masyarakat kampung boleh keluar rumah untuk melaksanakan pelbagai urusan pada awal pagi dan waktu malam termasuk berjalan ke surau.

Satu lampu setiap tahun

Walaupun masih terdapat laluan yang belum dilengkapi kemudahan elektrik, Johari berpuas hati melihat penduduk kampung itu selesa menjalankan aktiviti harian. Malah sejak jalan-jalan kampung diterangi, ada dalam kalangan mereka yang keluar bersiar-siar pada waktu malam.

Namun begitu, beliau berharap agar tiang-tiang elektrik yang lama dipasang di jalan-jalan kampungnya akan dilengkapi lampu kerana menurut beliau, “Tiang letrik memang banyak tapi hanya separuh yang berlampu dan keadaan masih belum cukup cerah.”

Melihat situasi itu (tiang tanpa lampu) sebagai sebahagian rancangan jangka masa panjang, setiap tahun beliau akan membuat permohonan kepada pihak berwajib agar lampu jalan ditambah. Setakat ini, permohonannya tidak menghadapi masalah.

Sementara itu, Ketua Kampung Dusun Nyior, Mustafa Jaafar, 73, yang mengalu-alukan projek LJK8 mengakui terdapat banyak perubahan di kampung itu terutamanya dengan pelbagai kemudahan yang diterima saban tahun.

Beliau bagaimanapun akan terus memohon kepada pihak berwajib agar lebih banyak lampu jalan dipasang terutamanya di kawasan perumahan rakyat kampung berkenaan.

“Apabila persekitaran cerah diterangi lampu, suasana bukan sahaja ceria dan meriah malah memberi kesan sehinggakan kadar kecurian semakin berkurangan,” katanya.

Depan belakang sudah terang

Ketua Kampung Bukit Merbah, Jaafar Sidek, 70, yang turut ditemui media pula memberitahu banyak lampu jalan dipasang terutamanya sejak 3 tahun lepas.

“Saya sangat berterima kasih kerana bukan sahaja setiap tiang elektrik di kampung sudah dipasang lampu, malah kampung kami juga mempunyai surau, tadika, balai raya dan pelbagai kemudahan asas lain.

“Sekarang ini di depan rumah terang, belakang pun terang,” tambah beliau yang menjadi ketua kampung sejak 20 tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata di bawah LJK8 itu, setiap kampung di negeri berkenaan masing-masing akan mendapat purata 30 unit lampu jalan.

“Setiap kawasan parlimen akan mendapat purata 500 unit lampu jalan yang mana akan dipasang dalam masa terdekat,” tambah beliau.

Peruntukan RM100juta

Sebanyak RM3.4 juta diperuntukkan untuk pemasangan 4,337 unit lampu jalan di bawah projek LJK8 di 433 buah kampung dalam 8 kawasan Parlimen di negeri Sembilan. Sejumlah 337 unit lampu adalah jenis diod pancaran cahaya (LED) manakala selebihnya adalah lampu jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV).

Sementara itu, kenyataan media TNB menyebut dalam fasa satu hingga fasa ketujuh projek Lampu Jalan Kampung (LJK) yang bermula pada 2003, sebanyak 300,000 unit lampu jalan kampung dipasang di seluruh negara dengan kos RM150 juta. Daripada jumlah itu, 18,300 unit dipasang di Negeri Sembilan.

Selain itu, bagi projek LJK8 pula, kerajaan memperuntukkan RM100juta untuk memasang 111,833 unit lampu, termasuk 6,333 unit jenis LED di kampung-kampung di seluruh negara.

Projek LJK adalah usaha berterusan kerajaan untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk kampung melalui Program Bekalan Letrik Luar Bandar.

Kenyataan media itu juga menyatakan projek di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu adalah bagi memastikan rakyat, khususnya di luar Bandar mendapat keperluan bekalan elektrik yang mencukupi dan berdaya harap.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah agensi pelaksana projek, yang dilantik KKLW, sentiasa komited untuk memastikan pemasangan lampu di bawah projek LJK8 dilaksana dengan cekap dan selamat dalam tempoh yang ditetapkan iaitu mulai awal tahun ini dan dijangka selesai pada Oktober 2017.