Peserta ratu cantik Singapura kelahiran Malaysia dikecam teruk

miss-singapore-finalistTiga peserta pertandingan ratu cantik kelahiran Malaysia yang berstatus Pemastautin Tetap (PR) Singapura antara yang dikecam teruk oleh netizen.

Menurut laporan The Straits Times, netizen kesal semua 19 peserta pertandingan ratu cantik Miss Singapore Beauty Pageant 2017 langsung tidak kelihatan seperti gadis Singapura.

Turut menjadi sasaran ialah 2 peserta berstatus PR dari China dan seorang dari Myanmar.

Peserta, Nur Amelina, 21, kecewa dengan kecaman netizen yang mengungkit isu berkaitan negara kelahiran bagi peserta pertandingan ini.

“Selagi mereka ‘Singaporean’ atau pemastautin, mereka dibenarkan menyertai pertandingan. Jadi saya tidak faham mengapa mereka tidak boleh mewakili Singapura,” katanya.

Penganjurnya, ERM Singapore Marketing berkata pertandingan itu sememangnya terbuka kepada kedua-dua warganegara dan PR yang berusia 17 tahun ke atas.

Peserta kelahiran China, Honey Tian, 25, yang tinggal di Singapura sejak berusia 8 tahun berkata negara kelahiran tidak sepatutnya menjadi isu.

“Ramai daripada kami (PR) tinggal di sini untuk tempoh masa yang agak lama dan kami sayang negara ini. Kami bangga mewakili Singapura,” katanya.

Selain kecaman itu, netizen juga mengutuk peserta pertandingan itu hodoh dan tidak cukup cantik.

Namun perkara itu dikatakan berlaku hampir setiap tahun sejak wujudnya keterbukaan dalam mengkritik peserta menggunakan laman sosial.

Sebagai contoh, peserta dan pemenang pertandingan itu pada 2013, Shi Lim, 28, dikritik sebagai “terlalu pendek” dan “terlalu gemuk” oleh netizen ketika itu.

Pertandingan itu akan mempersiapkan pemenang dalam 4 “title” berbeza untuk mewakili negara ke arena antarabangsa.

Ia adalah “Miss Singapore Tourism Queen”, “Miss Singapore Chinatown”, “Miss Singapore Global Beauty Queen” dan “Miss Grand Singapore”.

Bagi pemenang “Miss Singapore Global Beauty Queen 2016”, Priscilla Martin berkata dia tidak dapat mengenang peserta PR dalam pertandingan tahun lepas dan meminta supaya rakyatnya tidak berfikiran sempit.

“Singapura sangat majmuk dan kita kena memahaminya,” katanya seperti yang dipetik akhbar itu.

Dalam pada itu, ramai netizen yang mempersoalkan legitimasi pertandingan namun penganjur berkata ia dijalankan sejak 29 tahun yang lalu dan pemenang akan mewakili negara di tahap global.

Peserta dijangka melalui sesi tata rias yang berterusan setiap minggu dan gambar dalam laman sosial dirakam sebelum mereka disolek.

Pertandingan itu dikatakan menerima kira-kira 60 penyertaan dan finalis dipilih oleh jawatankuasa yang terdiri daripada bekas pemenang.