Belia Malaysia syukur kehidupan mereka lebih baik

malaysiafmt-ohsem-inside-article1Tinjauan pendapat awam yang dijalankan oleh Kajidata Research Sdn Bhd baru-baru ini mendapati lebih separuh daripada belia Malaysia selesa dengan kehidupan mereka.

Seramai 1,000 orang belia berusia 21 hingga 35 tahun daripada semua kumpulan terbabit dalam tinjauan yang dibuat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Hasil tinjauan itu juga menunjukkan 70% daripada responden gembira tinggal bersama keluarga mereka. Daripada jumlah itu, 56% menyatakan mereka berpuas hati dengan keadaan selesa rumah masing-masing.

Majoriti responden juga menyatakan syukur kerana kehidupan mereka adalah lebih baik berbanding apa yang dilalui golongan belia 15-20 tahun lalu daripada segi peluang pendidikan, di mana kurang sedikit daripada separuh mengakui tahap kehidupan Malaysia meningkat dalam tempoh yang sama.

Mengenai isu pekerjaan, 44.5% berpuas hati dengan pekerjaan mereka tetapi 70% tidak gembira dengan pendapatan yang diterima.

Mereka percaya pendapatan yang lebih tinggi adalah penting untuk membantu mereka menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Sekitar 38% bersetuju semakin kurang peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang tinggi berbanding 10-15 tahun lalu.

Penasihat Kajidata, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid memberitahu Bernama baru-baru ini, kajian yang dibuat juga menunjukkan 94.2% belia mengikuti perkembangan di negara ini dan yang paling menjadi perhatian mereka adalah keperluan asas sementara perkara lain seperti politik dan isu semasa berada di kedudukan paling bawah.

Wang, kos sara hidup yang tinggi termasuk kenaikan harga barangan keperluan asas serta hutang adalah perkara yang menjadi perhatian berat separuh daripada responden.

Golongan belia ini juga dapat membezakan isu sebenar yang memberi kesan kepada mereka dan bagaimana ia menjejaskan kualiti kehidupan secara umum dan perkara lain tidak berapa penting.

Bagaimanapun, mereka ini yakin dengan masa depan mereka.

Dalam membuat rumusan hasil tinjauan ini, Prof Syed Arabi menyatakan meskipun golongan belia itu sedar akan cabaran masa kini terutama dalam bidang ekonomi akibat faktor dalaman dan luaran, mereka optimis dengan kesejahteraan masa depan mereka.

“Perkara yang paling menarik, keluarga adalah tonggak kesejahteraan mereka dan daripada situlah mereka memperolehi keselesaan hidup dan keyakinan mengenai masa depan mereka,” kata Prof Syed Arabi yang juga bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) ketika mengulas dapatan tinjauan 70% responden gembira dan berpuas hati dengan keluarga mereka.