Scam rumah orang mati, konon JPN beri wang ihsan RM5,750

call-scam

fmt-ohsem-inside-article1Kira-kira 2 minggu yang lepas, pada Ahad, abang saudara saya menerima panggilan, kononnya dari Jabaran Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

Panggilan itu diterima pada keesokan hari bapanya meninggal dunia.

Sedang sibuk dengan upacara pengebumian, dia pun menjawab memandangkan ia dari JPN, entah-entah ada sesuatu yang penting.

Seorang lelaki bernama Azman akui pegawai JPN mahu menawarkan bantuan kewangan pengebumian ekoran kematian bapanya. Amaun yang ditawarkan ialah RM5,750.

Namun, panggilan itu bukan diterima di nombor telefon bimbit mahupun rumah abang saya, yang merupakan satu-satunya waris tunggal. Malahan panggilan itu dibuat di nombor adik ipar lelakinya.

“Soalan pertama, apa kena-mengena adik ipar saya dengan kematian bapa saya? Kenapa tidak menghubungi saya terus memandangkan semua maklumat bapa saya di JPN menggunakan nombor telefon saya.

“Soalan kedua, JPN Putrajaya beroperasi pada Ahad?

“Dan soalan ketiga, RM5,750? Biar betul!” persoalan yang bermain dalam fikiran abang saudara saya yang hanya mahu dikenali Vittal.

Menurut pemanggil yang bernama Azman, ada beberapa syarat yang perlu diikuti untuk mendapatkan duit tersebut.

“Sekejap encik, pegawai kanan saya mahu bercakap,” katanya sambil menyambung talian itu kepada pegawai yang dikatakannya.

Pegawai kanan itu, seorang lelaki India memperkenalkan namanya sebagai Ganesan. Dia bercakap dalam bahasa Tamil menerangkan syarat-syarat penebusan duit yang dikenakan.

Syaratnya, 4 salinan kad pengenalan si mati, 4 salinan sijil kematian dan bayaran muka RM900 (RM450+RM450) dimasukkan ke dalam 2 akaun berbeza, juga kononnya milik JPN Putrajaya.

“Selepas itu, bawa dokumen dan slip bayaran ke Ibu Pejabat Polis (IPD) terdekat. Dapatkan surat laporan dari polis dan anda boleh tebus duit itu dari pejabat kami di Pusat Transformasi Urban (UTC) terdekat atau JPN Putrajaya,” kata suara itu.

Sudahlah abang saudara saya sedang berkabung ekoran kematian bapa, panggilan telefon yang diterimanya pula ternyata satu penipuan. Selepas scam cinta, scam awang hitam, scam Afrika, yang ni scam orang mati ke?

“Saya sedang bersedih dan ada pula orang yang sanggup menyalahguna situasi ini untuk menipu,” katanya dengan kesal.

Dan ini jawapan abang saudara saya kepada si pemanggil itu.

“Kamu panggil saya dari JPN Putrajaya pada Ahad, hari pejabat kerajaan tutup, cuti hujung minggu.

“Kamu menghubungi nombor telefon adik ipar saya yang hanya didedahkan dalam urusan bapa saya semasa membuat pengumuman kematian di dalam 3 akhbar Tamil.

“Dan kamu mahu perdaya saya dengan meminta saya ke IPD? Kamu ingat saya bodoh ke apa? Orang sedang bersedih akibat kehilangan ahli keluarga dan kamu pula cuba permainkan situasi saya,” kata abang saudara saya tegas.

“Err…. err… Kalau encik tak mahu duit itu tak mengapa. Saya akan tulis dalam rekod encik menolak atau tidak berminat. Kami cuma mahu membantu,” katanya yang memanggil dari nombor telefon bimbit, 010-26331** .

“Memang saya tak perlukan duit itu kerana saya tahu ia satu helah. Saya tengah sibuk dan marah, baik kamu jangan ganggu saya lagi,” katanya.

Nasib baiklah abang saudara saya sedar ia sejenis scam dan tidak terpedaya dengan tipu helah lelaki itu.

Mungkin mereka menggunakan modus operandi sama menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan pengumuman kematian dalam akhbar-akhbar Tamil untuk menjayakan helah mereka.

Entah siapa lagi mangsa mereka seterusnya, harap masyarakat kita lebih peka dan tidak sewenang-wenangnya terpedaya.

Bayangkan jika ada keluarga itu terdesak untuk memiliki duit tersebut maka mereka sedia membuat bayaran RM900?

Bak kata pepatah, seperti jatuh ditimpa tangga pula.