Solekan ala anime dihujani tempahan

anime-makeupfmt-ohsem-inside-article1Beberapa minggu lepas kita terbaca mengenai seorang lelaki yang mengubah wajahnya menjadi watak anime hidup dengan membelanjakan kira-kira RM200,000 untuk prosedur pembedahan.

Betul atau tipu, banyak pula laporan susulan yang mempersoal dan menidakkan perkara itu.

Tetapi laporan ini sahih. Seorang gadis bertukar menjadi watak anime, atau lebih tepat seiras seperti watak Sailor Moon selepas disolek sedemikian rupa oleh ibunya sendiri.

Ya, hanya menggunakan ‘senjata’ berupa alat solek, jurusolek yang dikenali sebagai Rosmaniza Abd Kadir berbuat demikian pada wajah anak perempuannya, Nurliyana Darus, 17 sekali gus menjadi tarikan pengguna media sosial.

Menurut laporan Mstar Online, solekan itu adalah percubaan pertamanya sekadar hanya mahu bereksperimen.

Namun, dalam status yang dimuat naik di Facebook, Rosmaniza akui sedikit pun tidak menyangka ia menerima respon di luar dugaan.

Melengkapkan eksperimen solekan selama 3 jam watak anime, wanita ini turut mengenakan anaknya dengan pakaian pengantin dan tudung, menambahkan lagi keayuan.

“Masa tu kami tengah ‘free’ jadi saya cuba bereksperimen dengan muka anak saya dengan menyolek wajahnya menjadi patung Sailor Moon.

“Dari dulu lagi saya memang suka ‘test’ solek kawan-kawan dan ahli keluarga, anak lelaki saya pun selalu jadi bahan eksperimen,” katanya seperti yang dipetik daripada mStar Online.

Turut dikongsi dalam muat naik status tersebut ialah rakaman video solekan pada mata anaknya itu.

Ekoran penularan gambar anaknya yang bersolek itu, dia terus dihujani dengan permintaan solekan seperti patung atau watak-watak anime kesukaan mereka.

“Ramai rupanya yang minat untuk berwajah anime, bakal pengantin pun ramai minta, saya betul-betul tak sangka.

“Tapi ada juga yang kutuk kata mekap macam hantu dan saya tipu, saya cuma ambil pendekatan berdiam diri dan terima teguran yang membina,” katanya lagi.

Rosmaniza berkata, solekan itu dicaj sekitar RM450 hingga RM500 di kawasannya di Kuantan, Pahang dan mungkin lebih di luar kawasannya.