Sultan Johor puas hati pencapaian bakal menantu dalami Islam

dennis

fmt-ohsem-inside-article1Seperti diketahui ramai, bakal suami Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim ialah warga Belanda yang berasal daripada keluarga bukan Islam.

Oleh itu, Dennis Muhammad Abdullah yang sudah memeluk Islam perlu mempelajari agama itu untuk memenuhi syarat utama sebagai umat Islam.

Berita Harian Online hari ini melaporkan Dennis sedang dibimbing sekumpulan guru agama dari Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sejak awal Mac lalu.

Kini, selepas hampir 4 bulan, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berpuas hati dengan pencapaian Dennis.

Perkara itu dinyatakan bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim kepada pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO) menerusi satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Dennis menggunakan modul pembelajaran Islam yang intensif dan sistematik dengan bimbangan guru agama dari JAIJ.

“Ini termasuk pembelajaran Al-Quran, fardu ain selain pengajaran Bahasa Melayu, protokol dan istiadat diraja Johor, penulisan Jawi serta penerangan struktur organisasi kerajaan negeri,” katanya yang menyampaikan laporan pembelajaran Dennis kepada Sultan Johor pada 5 Julai lalu.

“Dalam tempoh 3 bulan sahaja, Dennis dapat mengikuti segala pembelajaran dengan baik dan cemerlang, termasuk berupaya menghafal 10 surah terakhir Al-Quran, doa qunut serta ayat Kursi,” katanya.

Ismail dan isterinya, Datin Zawiah Mohamed dilantik menjadi keluarga angkat Dennis pada awal Februari lalu, selepas mendapat perkenan Sultan dan Permaisuri Johor.

Pelantikan itu memudahkan Dennis mempelajari fardu ain merangkumi tertib solat, Rukun Iman dan Rukun Islam, puasa, zakat dan haji di samping berdisiplin dalam menunaikan solat Jumaat dan menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan lalu.