Bekas paderi 24 isteri dihadap ke mahkamah

James-Oler-Winston-Blackmore-polygamyfmt-ohsem-inside-article1Dua pemimpin agama Kanada, Winston Blackmore, 61, dan James Oler, 53, didapati bersalah oleh Mahkamah Agung British Columbia kerana berpoligami.

Menurut perbicaraan, Blackmore berkahwin dengan 24 wanita manakala bekas adik iparnya, Oler pula berkahwin dengan 5 wanita.

Blackmore dianggarkan mempunyai 145 orang anak.

Mereka berdua akan menghadapi hukuman penjara lebih 5 tahun memandangkan undang-undang Kanada melarang poligami dalam perkahwinan, lapor BBC.

Oler dan Blackmore berasal dari Bountiful, mewakili sebuah komuniti agama yang diasaskan pada 1946 dengan kira-kira 1,500 pengikut.

Kedua-dua mereka adalah bekas paderi susulan pemisahan mazhab Mormon, Gereja Fundamentalis Yesus Kristus Latter-Day Saints (FLDS).

Blackmore dibuang daripada jemaah FLDS dan digantikan dengan Oler pada 2002.

Mazhab ini mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS) dengan lebih 10,000 ahli.

Amalan poligami adalah salah di sisi undang-undang di bawah Seksyen 293 Kanun Jenayah Kanada.

Polis Diraja Kanada memulakan penyiasatan terhadap mazhab ini di Bountiful pada 1990-an di AS.

Malangnya, percubaan mereka untuk membawa kes itu ke mahkamah gagal selepas kekurangan bukti sokongan.

Pada 2011, Mahkamah Agung BC mengekalkan undang-undang anti-poligami Kanada dalam perlembagaan berikutan permintaan kerajaan BC untuk mendapatkan keputusan mengenai isu itu.

Menurutnya, undang-undang kebebasan agama di Kanada turut terikat kepada sekatan yang munasabah.

Bagaimanapun keputusan itu dipercayai akan dicabar pada Isnin depan oleh peguam Blackmore, Blair Suffredine.

Pakar undang-undang pula menjangka kes tersebut akan hanya berakhir di Mahkamah Agung Kanada.