Teruja dengan akademik anak sampai lupa pasal akhlak

cikgu-sekolah-1fmt-ohsem-inside-article1Bila anak berlaku kasar di sekolah sama ada menengking guru atau bergaduh dengan pelajar lain, apa yang akan ibu bapa lakukan? Marahkan anak? Atau marahkan guru atau pentadbiran sekolah dengan alasan gagal mendidik anak untuk berkelakuan sopan?

Bagaimana pula jika anak membentak ibu bapa sendiri? Memukul adik beradik sama ada yang lebih besar atau yang lebih kecil.

Hendak salahkan siapa pula dalam keadaan ini?

Berapa ramai agaknya ibu bapa yang sanggup menuding jari kepada diri sendiri, mempersalahkan cara membesarkan anak yang mungkin memberi “lebih muka”, memanjakan anak sehingga mungkin tidak pernah langsung menjentik si anak atas pelbagai alasan!

Mungkin ada emak ayah yang sejenak teringat kembali sikap mereka sendiri yang sering bergaduh semasa sendiri dengan menghamburkan kata-kata kesat yang mungkin mempengaruhi anak untuk berlaku ganas atau cepat baran!

Malah mungkin anak terpengaruh juga dengan apa yang mereka tonton di skrin televisyen atau gajet canggih yang ada di tangan mereka.

Mungkin ada yang setuju dengan penulis drama tempatan sebagai contoh ada yang memaparkan antaranya babak bergaduh suami-isteri dan adik-beradik. Sesi jerit-menjerit dengan kata-kata yang kurang manis untuk diulangi, itulah yang mungkin menjadi ikutan anak.

Ada banyak juga permainan di Internet yang meninggalkan pengaruh tidak sihat di kalangan kanak-kanak yang ibu bapa perlu ambil berat dan kawal penggunaan gajet itu.

Penulis lontarkan persoalan ini kerana semakin semak fikiran membaca kes salah laku anak termasuk dalam kalangan remaja.

Kes buli baik di sekolah biasa atau sekolah berasrama, di bandar atau di pinggir bandar pasti mencemaskan ibu bapa yang bimbang perkara yang sama akan berlaku ke atas anak mereka.

Bagaimana pula kes-kes anak “Si Tanggang” (kisah dongeng masyarakat Melayu mengenai anak yang menderhaka kepada ibunya dan akhirnya menjadi batu atas doa ibu) sanggup mencederakan, malah meragut nyawa ibu bapa sendiri !

Kes-kes ini banyak kita baca dan dengar mutakhir ini. Sering yang menjadi punca jenayah yang dilakukan sama ada akibat pengaruh dadah atau sakit mental!

Sikap kurang ajar anak ini bukan sahaja berlaku dalam masyarakat kita. Pernah tular di media sosial bagaimana seorang remaja lelaki memukul ibunya (bukan di Malaysia) kerana tidak mampu membeli telefon bimbit pintar untuk dirinya.

Banyak juga kes anak mendera dan membunuh ibu bapa sendiri di negara lain, justeru, kepincangan akhlak anak atau remaja ini perlu ditangani supaya ia tidak menjadi barah dan menjadikan generasi muda akan datang sebagai “hampas” semata-mata.

Ramai ibu bapa yang berkemampuan di negara ini mempunyai kecenderungan menghantar anak atau anak mereka ke pusat jagaan dan taman didikan/asuhan kanak-kanak.

Di samping memberi kemudahan menjaga si anak sampai ibu bapa boleh mengambil semula si anak, pusat jagaan seperti itu boleh meninggalkan kesan yang besar kepada anak yang rata-ratanya dalam usia muda yang mudah dibentuk dan diasuh.

Ibu bapa jangan hanya teruja bila anak yang dihantar ke tadika atau taska sudah boleh menyebut abjad mengikut susunannya atau boleh mengira walapun hanya 1 hingga 10. Jangan juga leka seronok apabila si anak balik ke rumah dan menyanyi lagu bintang atau si itik!

Ada satu perkara yang ibu bapa perlu ambil berat mengenai anak sebelum ‘nasi menjadi bubur’, sebelum ‘rebung yang hendak dilentur sudah menjadi buluh’!

Apa yang penulis ingin kongsikan ialah pentingnya anak dididik supaya beradab, berakhlak, mempunyai kelakuan atau tingkah laku yang baik serta berbudi pekerti.

Jangan nanti kita menukar pujian untuk anak semasa dia kecil kepada keluhan kekecewaan apabila anak sudah pandai meninggikan suara, memutar belit kata dan tidak ada lagi rasa hormat serta kasih kepada orang tuanya.

Ambil berat perkembangan tingkah laku atau akhlak si anak, daripada kecil lagi, bukan setakat mencium tangan apabila dihantar ke tadika atau taska.

Jangan mengulangi sindrom membela anak jika berkelakuan tidak sopan atau bila sering bergaduh dengan kawan atau adik-beradik sendiri. Jangan biasakan anak mendengar kita menyebelahi mereka dengan ungkapan “dia kan masih kecil” atau “biasalah budak kecil berperangai macam tu”, “tak mengapa, nanti berubahlah dia”.

Latihlah anak apabila sudah meningkat usia remaja supaya ‘ringan tulang’, rajin membantu kerja di rumah meskipun mungkin ada pembantu rumah. Jangan sampai ibu atau ayah mencuci kasut sekolah, jangan biar anak membiarkan sahaja pinggan makan di meja atau meletakkan sahaja di sinki selepas makan. Jangan juga jadi pak sanggup melakukan sesuatu yang sepatutnya anak yang lakukan!

Penulis ada menonton video kanak-kanak sekolah di Jepun yang diajar begitu berdisiplin mahu pun di dewan makan. Bukan setakat beratur untuk mengambil makanan tetapi mengangkat bekas makanan, mencuci dan menyusun di tempat yang disediakan.

Mereka juga bersama-sama membersihkan bilik darjah dan tidak kekok memegang penyapu atau mengelap lantai. Cuba agaknya kalau kanak sekolah di negara kita disuruh mengelap lantai, mungkin ada yang balik ke rumah dan mengadu pada emak atau ayah. Mungkin juga keesokan harinya ada ibu bapa yang akan menyerbu ke sekolah dan memarahi guru kerana memperlakukan anaknya seperti tukang cuci!

Saya amat berharap andaian saya ini tidak benar kerana ibu bapa di negara ini memang sudah mengasuh anak mereka menjadi seorang yang ringan tulang dan biasa melakukan kerja rumah.

Anak-anak sekarang berdepan dengan pelbagai cabaran yang boleh menggugat keperibadian serta akhlak mereka. Contoh terbaik, media sosial, Internet dan pelbagai gajet yang boleh mencuri fokus serta tumpuan mereka daripada menjadi anak yang rapat terutamanya dengan ibu bapa serta adik-beradik.

Jangan pinggirkan anak semasa muda tanpa menitikberatkan pendidikan yang boleh menjadikan mereka berakhlak dan berbudi mulia, agar kelak kita tidak dirundung kecewa dan dipinggirkan di usia senja kita!

Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis