Intai peluang pelancongan selepas masalah air pulih

kinbalu

Seluruh perhatian negara tertumpu kepada mangsa yang terperangkap di Gunung Kinabalu di samping kerosakan ke atas bangunan dan jalan raya apabila gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda sekitar Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015.

Gempa bumi itu yang meragut 18 nyawa turut merubah ‘rupa’ Gunung Kinabalu selama-lamanya apabila salah satu ‘Telinga Keldai’ yang menjadi ikon gunung tertinggi di Asia Tenggara itu turut runtuh.

Gegaran gempa yang kuat diikuti 48 gegaran kecil turut dirasai di kebanyakan tempat lain termasuk Kota Kinabalu, Kota Belud, Inanam, Kota Marudu, Likas, Beaufort, Keningau, Tambunan, Limbang hingga ke Bandar Seri Begawan di Brunei.

Dua tahun selepas gempa bumi itu, pihak berkuasa berjaya membaiki banyak kerosakan fisikal, namun bagi penduduk Kampung Tiong Kemburaon di Kota Belud, Sabah, ada satu masalah yang masih menghantui mereka.

Kejadian gempa itu menyebabkan 3 daripada 4 mata air semula jadi yang menjadi sumber air 300 penduduk kampung mendap. Hanya satu sahaja mata air dapat digunakan dan ini membataskan kuantiti serta kekerapan bekalan air untuk penduduk kampung.

Tanpa sumber bekalan air yang stabil, kehidupan harian 46 keluarga sudah pasti terjejas, apatah lagi kampung ini terletak di puncak bukit.

Pertama kali bergaduh untuk air

Walaupun kampung ini hanya 40km dari pekan Kota Belud, tempoh perjalanan ke kampung ini boleh mengambil masa sejam setengah kerana keadaan jalan serta lokasi kampung tersebut.

“Jika musim hujan kami masih boleh menadah air untuk simpanan tetapi bila tiba musim kemarau, hanya mata air itulah harapan kami untuk bekalan air. Paling menyedihkan bila ada penduduk kampung sampai bergaduh sesama sendiri kerana berebut air,” kata Raymond Gundok, 47.

Menurut beliau, keadaan itu menggugat keharmonian penduduk kampung yang sudah hidup secara rukun dan damai sejak puluhan tahun lamanya.

Kebanyakan penduduk kampung mencari rezeki sebagai petani menanam nenas, halia dan sayur-sayuran. Ada juga yang menoreh getah dan bekerja di ladang kelapa sawit.

Raymond selaku Pengerusi Pelaksana Gerak Kerja Pemulihan Bekalan Air kampung turut memberitahu Bernama, sebelum berlaku gempa bumi, kampung berkenaan tidak pernah keputusan bekalan air.

Dengan mendapnya 3 daripada 4 mata air itu, orang kampung terpaksa mencari alternatif lain mendapatkan air seperti menadah air hujan, bergilir mengambil air di satu-satunya mata air yang tinggal atau meminta bantuan daripada sebahagian kecil penduduk yang mendapat sambungan air paip bermeter.

Majoriti penduduk kampung ini tidak mendapat sambungan bekalan air paip bermeter dan bergantung sepenuhnya kepada bekalan daripada mata air.

Lebih malang lagi bagi penduduk yang tinggal di kawasan tinggi ini, setiap hari mereka terpaksa mengangkut puluhan liter air menggunakan baldi daripada mata air yang terletak di kawasan rendah.

Usaha diambil untuk tambah baik sistem bekalan air

Bagaimanapun, sejak April lalu, penduduk kampung tersebut sudah boleh menarik nafas lega kerana bekalan air sudah pulih seperti sedia kala.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih semestinya ditujukan kepada Coca-Cola Malaysia dan Raleigh International yang bekerjasama membina semula sistem bekalan air di kampung tersebut.

Menurut Raymond, projek itu mengembalikan bekalan air kepada 36 buah rumah yang selama ini terputus bekalan sejak 2 tahun lalu.

Melalui projek ‘Clean Water For Communities’ (CWFC) di sini, 3 mata air baru dibuka, 2 empangan baru dibina, tangki air baru dinaikkan dan sistem perpaipan dibaiki . Di samping itu, saluran paip baru dibina untuk bangunan sekolah dan dewan serba guna.

Dengan kata lain, bukan hanya yang rosak dibaiki tetapi usaha juga diambil untuk menambah baik sistem bekalan air di kampung tersebut.

Apa yang lebih menarik, projek CWFH di Kampung Tiong Kemburaon ini adalah projek yang ke-50 berjaya dijalankan hasil kerjasama 2 buah organisasi antarabangsa ini.

Coca-cola Malaysia dan Raleigh International biaya CWFC

Projek CWFC Coca-cola Malaysia yang dijalankan bersama Raleigh International menjalankan program membina saluran bekalan air sejak tahun 2006.

Melalui kerjasama ini, Coca-Cola menyediakan bantuan berbentuk dana dan Raleigh menyediakan tenaga sukarelawan.

Sejak kerjasama ini bermula, Coca-cola membelanjakan RM850,000 untuk program CWFC. Melihatkan hasil yang memberangsangkan syarikat ini bersetuju menyumbang tambahan USD60,000 (RM 257,175) agar program ini dapat dilanjutkan untuk tempoh 2 tahun lagi.

“Coca-Cola berhasrat memulangkan semula kepada masyarakat dan alam semula jadi sejumlah air yang kami gunakan untuk pengeluaran minuman sehingga 2020.

“Kami juga mengambil inisiatif untuk projek air komuniti dan satu caranya dengan meningkatkan cara yang selamat untuk mendapatkan bekalan air. Ini dapat menaikkan taraf kehidupan penduduk kampung dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan iklim serta meningkatkan mutu air,” kata Pengarah Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Kadri Taib.

Para sukarelawan Raleigh datang dari pelbagai negara termasuk Belanda, Switzerland, United Kingdom dan Malaysia sendiri.

Potensi pelancongan terbuka luas

Dengan selesainya masalah air dan pengalaman bersama peserta Raleigh dari luar negara, Raymond berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedang merangka langkah menjadikan kampungnya sebagai destinasi pelancongan.

“Sebelum kedatangan peserta Raleigh, minda penduduk kampung masih tertutup mengenai peluang dalam bidang pelancongan. Kini kami sedar potensi besar kampung kami. Penduduk kampung juga sudah terbuka minda untuk menerima kehadiran orang dari luar negara ke sini,” jelas beliau.

Berdasarkan pemerhatian penulis, lokasi kampung yang strategik ditambah dengan panorama yang cantik, masyarakat tempatan yang mesra, tarikan semulajadi seperti air terjun dan sungai serta unsur sejarah tempatan melengkapkan ‘pakej’ untuk menjadikan kampung ini sebagai destinasi pelancongan.

Sukarelawan dari Switzerland, Jessica Brown, 18, berkata walaupun beliau diberitahu penduduk kampung bersikap mesra, sambutan yang beliau terima adalah jauh dari jangkaan.

“Kami diberi layanan amat baik. Mereka selalu membawa buah-buahan seperti pisang, nenas dan turut membantu kami membina sistem air ini.

“Di kampung ini saya perhatikan semua saling kenal-mengenali. Di tempat saya, saya mungkin bercakap hanya beberapa kali dengan jiran saya. Masing-masing dengan hal sendiri tetapi di sini mereka begitu mesra, selalu berkumpul. Saya suka semangat setiakawan penduduk kampung ini,” kata Jessica.

Sukarelawan Malaysia, Ang Kah Hoe Marcus, 18, dari Kuala Lumpur pula berkata pengalaman dan pelajaran yang beliau dapati ketika berada di kampung ini membuatkan beliau berasa seolah-olah seperti seorang pelancong walaupun sebenarnya masih berada di tanah air.